10 December 2007

11.12.07 - Lebih banyak penangkapan dalam tempoh terdekat

Begitulah kata-kata Ketua Polis Negara ketika diminta mengulas tentang penangkapan Mohamad Sabu dan Tian Chua yang dikaitkan dengan Himpunan Aman Rakyat 10 November lalu.Pada masa ini, Bukit Aman semakin giat mengumpulkan maklumat berhubung mereka yang terlibat dalam perhimpunan tersebut.

Maklumat dari 'dalam' juga mengatakan bahawa pihak Polis turut merekodkan setiap wajah mereka yang menghadiri himpunan tersebut berdasarkan foto yang diambil oleh Jurugambar Polis dan yang disiarkan di media massa termasuklah di Internet.

Beberapa pimpinan utama Parti Pembangkang telah di'mark' oleh pihak PDRM dan kini pihak Polis sedang mengumpulkan bukti tentang penglibatan mereka dalam himpunan dan juga aktiviti BERSIH.

Walaubagaimana pun dalam keadaan sekarang, kedudukan pemimpin Parti Pembangkang semakin kukuh ekoran publisiti percuma tentang mereka di dada-dada akhbar lanjutan dari siri penangkapan yang didalangi oleh pemimpin-pemimpin utama negara.

Hasutan dan campurtangan pemimpin utama negara terhadap kerja-kerja Polis menunjukkan bahawa Polis di negara ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh mereka bagi menghalang kebangkitan rakyat.

Apa yang berlaku ini tidak ubah seperti mana yang berlaku di Pakistan. Jika di sana, Musharraf mempergunakan Jawatannya bagi memperkudakan pasukan tentera bagi menghapuskan penentangnya, di Malaysia ini Perdana Menteri sendiri sebagai Menteri Keselamatan Dalam Negeri telah mempergunakan kedudukannya untuk mengarahkan Ketua Polis Negara bagi menghapuskan musuh-musuh politik beliau di pihak Pembangkang.

Perkara ini tidak seharusnya berlaku jika negara ini benar-benar mengamalkan demokrasi dan pengasingan kuasa.

Kuasa Eksekutif, Perundangan dan mencadangkan perlantikan Hakim serta jawatan-jawatan utama dalam Kerajaan seperti Ketua Setiausaha Negara, Peguam Negara, Ketua Polis Negara dan banyak lagi terletak ditangan Perdana Menteri seorang.

Malah kuasa membubarkan parlimen dan mengistiharkan Pilihanraya juga berada dalam tangan Perdana Menteri dan kuasa sebegini sebenarnya tidak terdapat dalam mana-mana negara demokrasi lain di dunia ini kecuali Malaysia. -
(HarakahDaily)

No comments:

Post a Comment