10 December 2007

11.12.07 - Mohamad Sabu dan 16 yang lain bebas dengan ikat jamin

KUALA LUMPUR, 10 Dis (Hrkh) - Setelah menunggu hampir 12 jam di Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, akhirnya Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu bersama 16 yang lain telah dibebaskan dengan ikat jamin pada jam 9.30 malam tadi.Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan KeADILan, Tian Chua, masing-masing telah dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin manakala Ahli Majlis Tertinggi KeADILan Gobalakrishnan dikenakan ikat jamin sejumlah RM3,000.

Selain itu dua orang yang didakwa telah dikenakan ikat jamin sejumlah RM1,000 memandang mereka masih di bawah umur, masing-masing berumur di antara 16 dan 17 tahun manakala bakinya dikenakan ikat jamin sejumlah RM2,000 seorang.

Kesemua ikat jamin berjumlah RM39,000 telah dibayar secara tunai di kaunter ikat jamin di pejabat pendaftar mahkamah B1 jam 8.00 malam.

Turut hadir sama Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar; Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli; AJK PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi; Anuar Tahir,Ronnie Liu (DAP) dan para penyokong sekitar 50 orang beserta puluhan wartawan.

Sebelum itu, Peguam Negara, Tan Sri Abdul Ghani Patail telah memohon supaya mahkamah menolak permohonan ikat jamin daripada para peguam Orang Kena Tuduh (OKT) dengan alasan kesalahan yang mereka lakukan adalah serius.

Namun setelah mendengar hujah kedua-dua belah pihak termasuk Peguam PAS, Hanipa Maidin yang mewakili Mohamad Sabu dan 10 yang lain, Peguam DK Ganesan (Gobalakrishnan) dan Ranjeet Singh (Tian Chua), Hakim Rozana Ali Yusoff menolak permohonan Ghani tersebut dan telah memberi keputusan kira-kira jam 7.15 malam tadi.

Kes yang dibicarakan di Mahkamah Sesyen 2 itu bermula agak lewat kira-kira jam 4.31 petang memandangkan Ghani Patail sedang melakukan pendakwaan terhadap kes yang berbeza di Mahkamah Sesyen 1 berhubung kes penangkapan 7 peguam yang melakukan perarakan di pusat membeli belah Sogo menuju ke bangunan Bar Council sempena Program Festival Hari Hak Asasi Manusia semalam. - mks.
(HarakahDaily)

No comments:

Post a Comment