10 December 2007

10.12.07 - Mohamad Sabu, Tian Chua ditahan polis

KUALA LUMPUR 9 Dis. – Naib Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua masing-masing ditahan hari ini bagi membantu siasatan polis berhubung satu perhimpunan haram di ibu negara, 10 November lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan mengesahkan penahanan mereka dengan waran tangkap kerana didakwa terlibat menganjurkan perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu dan disiasat mengikut Seksyen 27 (5) (a) Akta Polis 1967.

Katanya, mereka akan didakwa di mahkamah di sini esok.

Mohamad ditahan sepasukan polis ketika dalam perjalanan pulang menghadiri majlis perkahwinan anak perempuannya di Tambun, Ipoh pada pukul 5 petang ini.

Tian Chua ditahan polis ketika menghadiri satu majlis anjuran Suara Rakyat Malaysia (Suaram) di Taman Skudai Baru, Johor Bahru, pukul 5 petang ini.

Di Ipoh, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak, Senior Asisten Komisioner II Ismail Yatim yang dihubungi berkata, polis mengiringi Mohamad ke Pulau Pinang untuk memberi peluang beliau menghantar keluarganya yang turut berada dalam kereta pulang ke rumahnya di Kepala Batas sebelum ditahan.

Di Johor Bahru, Ketua Polis Johor, Datuk Hussin Ismail yang dihubungi malam ini memberitahu, Tian Chua ditahan empat anggota polis dari unit Cawangan Khas Bukit Aman.

Dia kemudian diiringi ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara dan dibawa ke Kuala Lumpur pada pukul 5.40 petang ini.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment