10 December 2007

10.12.07 - RTM pecat juruhebah

SUNGAI PETANI 9 Dis. – Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin menyifatkan Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ) dan Perikatan Penulis Untuk Kebebasan Media (WAMI) sebagai persatuan wartawan yang tiada kredibiliti.

Beliau berkata, CIJ dan WAMI jelas menghasut rakyat secara terang-terangan dengan menulis berita berdasarkan fakta yang tidak benar dan berunsur fitnah.

“Mereka menuduh Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengambil tindakan memecat tujuh juruhebahnya kerana terlibat dengan Hindu Rights Action Force (Hindraf).

“Sedangkan perkara sebegitu tidak timbul. Bagi saya, wartawan yang baik dan mempunyai kredibiliti perlu mendapatkan pengesahan terlebih dahulu terhadap sesuatu perkara sebelum menulis,” katanya kepada pemberita selepas meninjau projek Perpustakaan Awam Merbok, dekat sini hari ini.

Jumaat lalu, Kementerian Penerangan membuat laporan polis berhubung dakwaan laman web Malaysiakini, kononnya juruhebah radio Minnal FM dipecat kerana menyokong Hindraf.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian itu, Datuk Azmi Ali berkata, laporan yang diterbitkan laman web itu tidak tepat kerana penamatan kontrak dua juruhebah berkenaan adalah disebabkan masalah disiplin dan tidak mempunyai hubung kait dengan politik.
(Utusan)

No comments:

Post a Comment