09 December 2007

09.12.07 - Permit syarikat Hindraf dibatal

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) telah membatalkan pendaftaran perniagaan Hindraf Enterprise kerana didapati digunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang.

Menurut kenyataan suruhanjaya itu hari ini, selain itu, tindakan itu diambil kerana perniagaan syarikat terbabit "tidak bersesuaian dengan keselamatan negara serta ketenteraman awam."

Katanya tindakan membatalkan pendaftaran perniagaan syarikat itu, yang berkuatkuasa semalam, dibuat mengikut subseksyen 5C(2) Akta Pendaftaran Perniagaan (APP 1956).

Pendaftar Perniagaan di bawah suruhanjaya itu menjalankan kuasanya menurut subseksyen 5C(2) APP 1956 setelah berpuas hati bahawa perniagaan Hindraf Enterprise telah digunakan bagi kedua-dua tujuan tersebut, katanya.

Berikutan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak berurusan di dalam apa jua bentuk dengan Hindraf Enterprise yang telah dibatalkan pendaftarannya, katanya.

Semalam, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Mohd Shafie Apdal mengumumkan keputusan SSM membatalkan dengan serta merta lesen perniagan syarikat Hindraf Enterprise yang dipercayai ada kaitan dengan Hindu Right Action Force (Hindraf).

Shafie bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut. BERNAMA

No comments:

Post a Comment