09 December 2007

09.12.07 - Pernikahan penyampai radio Hot FM


KUALA LUMPUR 8 Dis. – Hanya sekali lafaz sahaja, penyampai radio Hot FM yang juga seorang pelakon dan pengacara, Sharifah Aleya Syed Zainal Rashid atau lebih dikenali sebagai Leya, 24, sah menjadi isteri kepada Muhammad Ashraf Aasimudin, 27, dalam satu majlis yang yang diadakan di Masjid Al-Mukharammah, Bandar Sri Damansara, dekat sini hari ini.

Pasangan dua sejoli itu dinikahkan sendiri oleh bapa Leya, Syed Zainal Rashid Syed Zainal Abidin al-Yahya sambil disaksikan oleh imam masjid berkenaan yang juga merangkap jurunikah mereka iaitu Mustaffa Kamal Abu Bakar dengan mas kahwin sebanyak RM101.

Leya turut menerima wang hantaran sebanyak RM10,101 dalam majlis yang cukup sederhana tetapi meriah itu.

Hadirin kemudiannya dibawa ke rumah pengantin perempuan bagi acara menukar hantaran yang menyaksikan pihak lelaki membawa tujuh dulang yang terdiri daripada sebuah iPod, minyak wangi, al-Quran, telekung, tepak sirih, cincin serta hiasan.

Sebagai balasan, pihak pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang di antaranya adalah kek, jam tangan, minyak wangi, kasut serta sebuah telefon bimbit.

Ketika ditemui, Leya yang mula mencipta nama menerusi filem Idola itu berkata, dia memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana apa yang dirancangnya berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, semuanya sudah selesai dan saya akan berusaha menjalankan tanggungjawab saya sebagai isteri dengan sebaik mungkin selepas ini. Saya bertuah kerana mendapat lelaki sebaik Ashraf dan apa yang membuatkan saya gembira, dia kelihatan cukup serasi dengan keluarga saya,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Aktres Pembantu Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-17 menerusi filem Trauma itu.

Mereka mengikat tali pertunangan lebih kurang setahun yang lalu selepas hampir dua tahun berkenalan setelah diperkenalkan oleh penyanyi utama kumpulan Spider, Tam yang turut hadir di majlis berkenaan.

Bagi Ashraf yang merupakan seorang pemuzik bebas berkata, buat masa ini, dia dan isterinya tidak memikirkan lagi tentang soal cahaya mata kerana dia mahu menghabiskan masa bersama berdua terlebih dahulu.

“Namun, kami tidak mampu untuk menolak rezeki yang diberikan Allah. Jika ditakdirkan ada rezeki kami menimang cahaya mata, kami terima. Bukan itu sahaja, saya juga telah memberikan keizinan kepada Leya untuk meneruskan karier seninya,” jelasnya yang masih belum memutuskan destinasi bulan madu mereka.

Majlis resepsi pihak pengantin perempuan akan diadakan esok di Hotel Legend, di sini manakala di pihak lelaki pula akan diadakan di Sungai Buloh, seminggu selepas itu.

No comments:

Post a Comment