09 December 2007

09.12.07 - David Teo ingin hasilkan 10 pengarah baru



KETIKA Pengarah Urusan Metrowealth International Group (MIG), David Teo mengambil pelakon muda Pierre Andre sebagai pengarah bagi filem terbitan syarikat tersebut tidak lama dulu, ramai yang memuji tindakan David memberi peluang kepada generasi muda dan tidak kurang juga yang merasakan percaturan jutawan perfileman itu akan membawa padah.

Namun, David membuktikan inisiatifnya untuk menghasilkan ramai pengarah baru itu berhasil apabila filem sulung arahan Pierre, 9 September berjaya mendapat sambutan ramai dan mencatat kutipan RM1.2 juta dalam tempoh dua minggu.

Berbekalkan kejayaan itu, David lebih bersemangat untuk terus mencari bakat-bakat baru dalam dunia pengarahan dan memberi peluang kepada mereka untuk membuktikan kebolehan masing-masing.

Terbaru, dia memperkenalkan seorang lagi pengarah baru yang merupakan pengarah wanita termuda di Malaysia, Norliana Samsudin atau lebih dikenali sebagai Yana yang diberi tanggungjawab besar untuk mengarah filem ke-26 terbitan syarikat itu.

Gadis berusia 23 tahun itu merupakan artis kelahiran MIG sendiri dan pernah membintangi beberapa buah filem seperti Cinta Fotokopi, Tentang Bulan dan terbaru, Histeria yang bakal ditayangkan pada tahun hadapan.

Pengarah muda itu akan mengarahkan filem berkisarkan cinta remaja berjudul Selamat Pagi, Cinta! (SPC) yang bakal dibintangi oleh pelakon-pelakon muda seperti Sharifah Amani, Fazura, Pierre Andre dan Que Haidar.

Meletakkan sasaran untuk menghasilkan 10 pengarah baru, kata David, dia melihat usaha ini wajar dilakukan dan berharap pengarah-pengarah baru yang terhasil kelak mampu menerajui industri perfileman tempatan untuk 10 tahun akan datang.

Walaubagaimana pun, ujar David lagi, dia tetap mementingkan kriteria tertentu untuk memilih pengarah-pengarah baru dan kali ini dia melihat bakat gadis kelahiran Kluang Johor itu boleh digilap dengan baik dan mempunyai potensi cerah untuk bergelar pengarah filem.

"Memang saya tahu ramai yang terkejut dengan keputusan saya mengambil Yana sebagai pengarah. Saya sedar ini adalah satu risiko kerana keputusan ini sama ada akan mencetuskan kontroversi atau reformasi.

"Saya memang sudah lama berhasrat untuk tampilkan muka-muka baru sebagai pengarah, sasaran saya dalam 10 orang pengarah baru. Tetapi baru sekarang saya mampu realisasikannya kerana ada sokongan daripada individu-individu seperti Ahmad Idham yang bertindak sebagai penasihat pengarah baru ini dan Indera Che Muda yang membantu dari segi pengarahan sinematografi.

"Ada yang tanya saya adakah saya 'pakai ambil' saja pengarah baru ini. Secara logiknya, takkan saya senang-senang ingin laburkan wang yang banyak pada orang yang tidak boleh buat kerja?

"Yana sudah mempunyai asas dalam teknikal pengarahan. Dia bukan pakar, tetapi dia ada pengetahuan dan menunjukkan minat dalam bidang ini. Sebelum dia menyambung pelajaran di universiti di dalam bidang Screen Art, dia pernah bekerja di MIG sebagai editor filem selain menjadi artis kami.

"Saya tidak akan ambil orang yang hanya tunjuk minat saja, tetapi tidak ada inisiatif untuk belajar selok-belok bidang pengarahan ini.

"Lihat sendiri kejayaan Pierre, dan jika hasil produknya baik selepas proses suntingan filem ini nanti, saya tidak teragak-agak untuk tawarkan dia mengarah filem seterusnya walapun masih filem ini masih belum ditayangkan," ujar David yang ditemui pada majlis pelancaran filem tersebut dan bersempena dengan pembukaan cawangan ketiga Restoran Lemon di Selayang Mall, baru-baru ini.

SPC yang bakal memulakan penggambaran pada 10 Disember ini mengisahkan tentang dua kisah cinta yang berbeza. Julia (Fazura) seorang wanita yang menderita akibat kematian suami yang sangat dicintainya. Kisah ini menceritakan bagaimana pertemuan dia dengan suaminya sehinggalah mereka berkahwin.

Ilham (Pierre Andre) dan Julia berkenalan di sebuah kedai buku. Setelah berkahwin, Ilham mengetahui dia menghidap sejenis penyakit yang boleh membawa maut.

Sedih atas apa yang menimpa dirinya, Ilham mengambil keputusan untuk merahsiakan penyakitnya itu daripada pengetahuan Julia dan mula berubah sikap sehinggalah isterinya menyimpan syak dan mengetahui sendiri hal yang sebenar.

Kisah kedua pula menceritakan tentang Azam (Que Haidar) yang menyukai seorang gadis yang belajar di kolej yang sama bernama Suci (Amani), anak orang berada. Azam merupakan seorang anak tunggal yang bekerja secara sambilan untuk menyara atuknya yang nyanyuk.




Setelah Suci turut menyimpan perasaan terhadapnya, Azam pula terpaksa mengecewakan Suci kerana dalam masa yang sama perlu menunaikan tanggungjawab menjaga atuknya itu sehinggalah Suci akhirnya beralih cinta kepada orang lain.

Azam cuba menjelaskan perkara sebenar tetapi Suci enggan mendengarnya dan apabila gadis tersebut akhirnya mengetahu perkara sebenar, semuanya sudah terlewat.

Mengulas lebih lanjut tentang pemilihan Yana sebagai pengarah filem terbarunya itu, kata David: "Bila saya buat sesuatu keputusan, saya sudah fikirkan semasak-masaknya. Saya anggap ini adalah satu pertaruhan.

"Jika dia 'kalah', saya terima saja kerana saya sendiri yang buat keputusan ini. Tetapi, jika dia 'menang', ini adalah satu perkara yang amat baik untuk perkembangan industri filem kita.

"Sebab itu saya sering berikan filem yang ringan untuk diarah oleh pengarah baru kerana mereka belum ada banyak pengalaman, sama seperti saya lakukan pada Pierre. Sepatutnya, filem ini Pierre ingin arahkan kerana skrip ini juga adalah hasil karyanya sendiri.

"Tetapi saya cadangkan kepada dia untuk cuba arahkan filem yang lebih berat sedikit selepas ini kerana dia sudah buktikan kemampuannya mengarah dua buah filem ringan iaitu 9 September dan I'm Not Single," katanya.

David juga menyangkal bahawa pemilihan gadis itu dibuat sebagai 'strategi' untuk memancing penonton menyaksikan filem ini kelak memandangkan Yana dan Pierre sebelum ini merupakan pasangan kekasih.

"Ini bukan strategi saya. Sama ada jalan ceritanya ada kena-mengena dengan kisah mereka, itu saya tidak mahu campur. Bagi saya, kalau benar ada unsur pengalaman sendiri mereka dalam SPC, itu akan nampak lebih 'real'," ujar David.


(mstar.com)

No comments:

Post a Comment