08 December 2007

08.12.07 - Amuk: Polis buntu cari motif serangan


OMAHA, Nebraska 7 Dis. – Lelaki muda yang mengamuk dan melepaskan tembakan di sebuah pusat membeli-belah di Omaha Rabu lalu pernah tinggal di beberapa pusat rawatan, rumah kebajikan dan jagaan sementara selepas mengancam untuk membunuh ibu angkatnya pada 2002.

Pada Ogos tahun lalu, petugas sosial, mahkamah dan bapanya bersetuju supaya Robert Hawkins dibebaskan, iaitu sembilan bulan sebelum umurnya mencapai 19 tahun.

Keadaan itu menyebabkan mereka yang mengenali anak muda ini tidak berasa terkejut apabila mengetahui dia melepaskan tembakan rambang yang membunuh lapan orang dan kemudian menembak dirinya sendiri.

“Dia patut mendapat bantuan tetapi saya fikir dia memerlukan bantuan seseorang dan perlukan seseorang untuk bersama-sama apabila dia pernah mengatakan mahu membunuh diri,” kata Karissa Fox yang mengenali Hawkins melalui seorang rakan.

Pengarah Perkhidmatan Kanak-kanak dan Keluarga Nebraska, Todd Landry berkata, rekod mahkamah tidak menyatakan secara tepat mengapa anak muda itu dibebaskan dari pusat-pusat tersebut.

“Pada pandangan saya, apa yang berlaku bukan disebabkan oleh kesalahan sistem dalam memberikan khidmat yang sepatutnya,” katanya.

Walaupun sudah melihat rakaman kamera tindakan Hawkins melepaskan tembakan dan membaca nota yang ditinggalkan, pihak polis memberitahu, mereka tidak tahu dan mungkin tidak akan tahu punca sebenar dia berada di gedung Von Maur di Westroads Mall untuk melepaskan tembakan.

Bagaimanapun, mereka percaya tindakan melepaskan tembakan itu sudah dirancang dengan teliti.

Polis percaya Hawkins melepaskan tembakan menggunakan raifal AK-47 dan tidak mempunyai hubungan dengan semua mangsa.

– AP

(Utusan)

No comments:

Post a Comment