08 December 2007

08.12.07 - Warga Vietnam maut cuba lari dari perompak

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Seorang lelaki warga Vietnam terbunuh ketika cuba melarikan diri daripada perompak yang memecah masuk ke bilik sewaannya di tingkat empat bangunan kedai di Jalan 6/116B, Kawasan Perindustrian Kuchai Lama dekat sini malam ini.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu mangsa, Nguyen Quang Thanh, 25, yang berada di beranda tergelincir selepas cuba memanjat ke sebelah rumah bagi melarikan diri sejurus menyaksikan enam lelaki bersenjatakan parang menyerang dan menyamun lima rakannya.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Sulaiman Junaidi berkata, berdasarkan maklumat awal, enam lelaki itu juga warga negara Vietnam.

Katanya, mangsa yang baru sembilan bulan bekerja di sebuah syarikat percetakan di sini meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan teruk di kepala.

“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan kes ini disiasat sebagai samun berkawan bersenjata,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, perompak tersebut telah menyamun tiga buah telefon bimbit, wang tunai RM800 dan tujuh keping pasport milik mangsa dan rakan-rakannya.

Selain itu, katanya, dua rakan mangsa juga cedera ditetak di kepala telah dihantar ke PPUM untuk mendapatkan rawatan.

(Utusan)

No comments:

Post a Comment