KUALA LUMPUR, Nov 30 (Bernama) -- Kira-kira 300,000 orang di negara ini dijangka dijangkiti HIV/AIDS menjelang 2015 jika usaha berkesan tidak dibuat untuk mengatasi masalah tersebut.
Timbalan Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Datuk Dr Ramlee Rahmat berkata statistik tahun lepas menunjukkan kes HIV meningkat di kalangan mereka yang berumur antara 13 dan 29 tahun.
Beliau berkata golongan muda yang menjalani kehidupan yang tidak sihat seperti terbabit dalam kegiatan seks praperkahwinan berisiko dijangkiti HIV.
"Golongan muda perlu menjalani pemeriksaan bagi memastikan sama ada mereka dijangkiti atau tidak. Jika mereka gagal berbuat demikian sebelum umur 30 tahun, mereka sukar dirawat kelak," katanya semasa merasmikan Forum Belia Unicef di sini hari ini.
Beliau berkata antara 1986 dan Jun tahun ini, kementerian itu melaporkan 78,784 orang sedang menghidapi HIV dan dari jumlah itu 10,909 orang atau 14 peratus telah meninggal dunia.
Dr Ramlee berkata Pelan Strategik Kebangsaan mengenai HIV/AIDS bagi tempoh lima tahun akan datang yang digubal tahun lepas, antara lain akan memberi pemahaman asas kepada golongan muda mengenai HIV.
Namun beliau berkata jumlah kes baru HIV sejak 2003 didapati menurun setiap tahun.
Pada 2003, 6,756 kes dilaporkan diikuti pada 2005 sebanyak 6,120 dan tahun lepas sebanyak 5,830 kes.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment