Empat masuk hospital, seorang dalam ICU
KUALA LUMPUR: Kira-kira 50 peratus atau 13,000 daripada jumlah keseluruhan bakal jemaah haji Malaysia sudah berada di Tanah Suci, manakala bakinya masih berada di tanah air dan akan berlepas ke Makkah secara berperingkat sehingga 12 Disember ini.
Jemaah haji Malaysia juga berada dalam kedudukan selesa tanpa masalah kesihatan serius dan hanya segelintir daripada mereka menerima rawatan di hospital kerana menghadapi masalah kecil termasuk batuk, selesema dan demam dipercayai akibat perubahan cuaca.
Mulai kelmarin, semua jemaah sudah memakai pakaian ihram dan sebahagian daripada mereka sudah bergerak dari Madinah menuju ke Makkah.
Ketua Bilik Gerakan Operasi Haji Stesen Kelana Jaya, Azillah Itam, berkata perubahan suhu harian (siang) daripada 17 darjah Celsius di Madinah kepada 23 darjah Celsius di Makkah turut membantu jemaah berada dalam keadaan lebih selesa kerana tidak terlalu dingin.
Katanya, jemaah haji Malaysia juga ditempatkan di hotel atau asrama yang berdekatan iaitu dengan jarak maksimum 200 meter dari Masjid Nabawi (Madinah) manakala di Makkah, penginapan paling jauh dari Masjidil Haram berada pada jarak kira-kira 800 meter.
“Setakat ini, semuanya berjalan lancar dan tidak masalah serius berlaku. Cuaca kali ini (di Madinah) tidak terlalu sejuk berbanding 15 darjah Celsius pada tahun lalu. Syukur semua berjalan mengikut perancangan dan urus setia di sana serta di sini memantau perkembangan semasa.
“Baki jemaah yang masih belum berlepas ke sana akan diterbangkan ke Makkah untuk menunaikan haji sebelum mengerjakan umrah,” katanya di sini, semalam.
Tahun ini, Malaysia menghantar kira-kira 26,000 jemaah haji selaras dengan kuota 0.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk seperti ditetapkan kerajaan Arab Saudi dan Pertubuhan Persidangan Islam (OIC).
Kerajaan turut menimbang untuk memohon tambahan kuota sebanyak 1,000 orang pada masa depan berikutan pertambahan jumlah penduduk yang kini mencapai 27.1 juta orang.
Kumpulan jemaah pertama (KT01) terdiri daripada 380 orang berlepas ke Makkah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 11 November lalu, manakala kumpulan terakhir (KT95) akan berlepas pada 12 Disember ini.
Mengulas mengenai kemudahan perhubungan telekomunikasi, Azillah berkata, kebanyakan jemaah Malaysia membawa telefon bimbit sekali gus memudahkan mereka menghubung keluarga di tanah air.
“Mereka dibenarkan bawa telefon bimbit, lagi pun tiada larangan daripada kerajaan Arab Saudi,” katanya.
Katanya, ahli keluarga yang ingin mendapatkan maklumat boleh menghubungi Pusat Hubungan Tabung Haji di Damansara menerusi talian 03-62071919.
Sementara itu, empat jemaah haji Malaysia dimasukkan ke Hospital King Fahd, Madinah, kelmarin berikutan mengalami masalah jantung dengan seorang daripadanya menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Pengarah Operasi Haji Madinah, Tengku Aziz Raja Abdullah, berkata jemaah haji terbabit berumur antara 55 hingga 84 tahun dan terdiri daripada seorang lelaki serta tiga wanita.
Katanya, jemaah yang dimasukkan ke ICU adalah wanita berumur 84 tahun berasal dari Hulu Klang, Selangor dan kini dalam pemerhatian rapi pihak hospital itu.
“Tiga jemaah lagi hanya menerima rawatan di wad biasa kerana masalah yang dihadapi tidak begitu kritikal berbanding jemaah wanita berkenaan. Kami sudah memaklumkan perkara ini kepada ahli keluarga jemaah terbabit.
“Rekod kesihatan yang diterima sebelum ini menunjukkan mereka dalam keadaan baik dan hanya ketika berada di sini (Madinah) barulah masalah itu dikenal pasti selepas mereka mengadu di kem kesihatan negara,” katanya ketika dihubungi di Madinah, semalam.
Tengku Aziz berkata, dua jemaah negara juga dimasukkan ke hospital berikutan mengalami penyakit lelah dan keletihan.
(Berita Harian)
No comments:
Post a Comment