SYDNEY 30 Nov. – Perdana Menteri Australia, Kevin Rudd hari ini mengumumkan akan mengundurkan 550 orang tenteranya yang kini berada di Iraq selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.
Tindakan itu selaras dengan beliau ketika pilihan raya umum baru lalu akan membawa pulang pasukan tentera negara itu sekiranya memenanginya.
Bagaimanapun katanya, sebilangan tentera Australia termasuk pasukan keselamatan akan ditinggalkan di Baghdad bagi mengawal kedutaan di sana.
‘‘Tentera negara ini yang berperang di Iraq dijangka dapat pulang pada pertengahan tahun depan.
‘‘Perbincangan dengan Amerika Syarikat (AS) belum diadakan lagi berkaitan perkara ini tetapi akan dilakukan dalam masa terdekat,’’ katanya ketika ditemuramah stesen radio Melbourne hari ini.
Terdapat kira-kira 1,500 tentera Australia yang dihantar ke luar negara untuk menyertai misi ketenteraan. Daripada jumlah itu hanya 550 orang tentera sahaja yang berada di selatan Iraq.
Sementara itu, duta AS, Robert McCallum berkata, Washington akan menjalin kerjasama dengan pemimpin Australia yang baru bagi membincangkan rancangan untuk membawa pulang askar dari Iraq.
‘‘Keadaan sekarang memperlihatkan keinginan Australia yang mahu mengatur semula kedudukan askarnya dan cara ia menggunakan sumbernya dalam tampuk pemerintahan serta cara kerja yang berbeza.
‘‘Kita akan melihat perkara ini bagi terus menjalinkan hubungan yang berterusan dengan Rudd,’’ katanya.
– AFP
No comments:
Post a Comment