01 December 2007

01.12.07 - Dapat mutaah RM100,000

KUANTAN: “Alhamdulillah, saya bersyukur kerana kes cerai saya selesai dengan cepat,” kata Puteri Shahanaz Hazlin Hamdan, 25, yang dicerai talak satu oleh suaminya, Datuk Roslan Hashim, 50, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini, semalam.

Ahli perniagaan itu melafazkan cerai terhadap isterinya di depan Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus selepas kes tuntutan perceraian secara fasakh dikemukakan Puteri Shahanaz disebut semula di mahkamah, pada jam 9.40 pagi semalam.

Perkahwinan pasangan itu menggemparkan negara apabila Puteri Shahanaz menerima hantaran RM444,444.44 yang dikatakan paling mahal di Malaysia, pada September 2006.

Wanita itu turut menerima mas kahwin berjumlah RM22,222.22 serta 22 barangan hantaran termasuk kereta BMW-320i berharga RM250,000, set barangan kemas berharga RM150,000; jam tangan mewah jenama Rolex bernilai RM25,000, cincin (RM20,000), beg tangan, kasut, wangian dan kosmetik jenama terkenal.

Bagaimanapun, pada 4 Oktober lalu, Puteri Shahanaz Hazlin memohon cerai fasakh.

Puteri Shahanaz berkata, dia akan memulakan kehidupan baru bersama keluarga dan anak tersayang, Putera Airil Imran yang kini berusia enam bulan.

“Selepas selesai, saya akan berusaha memastikan kebajikan anak terjaga dengan rapi selain hidup bahagia,” katanya ketika diminta reaksinya mengenai penyelesaian kes terbabit.

Dalam prosiding semalam, Roslan juga bersetuju membayar tuntutan mutaah RM100,000 secara ansuran, iaitu RM5,000 sebulan kepada Puteri Shahanaz dan akan dimasukkan ke akaun bank, mulai bulan depan.

Roslan turut bersetuju membayar nafkah RM1,500 sebulan kepada anak tunggal mereka, Putera Airil Imran, yang diberi hak jagaan kekal kepada bekas isterinya.

Peguam Dzulkarnain Mohamad yang mewakili Puteri Shahanaz Hazlin memberitahu hakim, pembayaran keseluruhan RM6,500 sebulan itu perlu dibuat Roslan kepada Puteri Shahanaz pada minggu pertama setiap bulan.

Katanya, Roslan turut bersetuju memberi hak jagaan anak kepada Puteri Shahanaz Hazlin dengan hak lawatan dan bermalam diberi kepadanya pada Sabtu dan Ahad setiap minggu bermula 22 Disember ini.

Menurutnya, Roslan dibenar membawa anaknya bercuti ke luar negara jika dipersetujui bekas isterinya tetapi jika gagal memulangkan semula kepada Puteri Shahanaz sebelum jam 10 malam (Ahad), membolehkan akses lawatan dan bermalam yang diberi kepada Roslan, ditarik semula.

“Kami bersetuju tiada lagi tuntutan lain dibuat mana-mana pihak selepas ini selain memohon menarik balik saman untuk hadanah anak yang difailkan di mahkamah semalam (kelmarin) ditarik balik,” katanya.

Puteri Shahanaz Hazlin yang hadir ke mahkamah dengan berjubah hitam dan bertudung putih sebelum itu enggan bersalaman dengan Roslan apabila dibenarkan mahkamah berbuat demikian sebelum lafaz cerai dilakukan suaminya.

Roslan yang diwakili peguam Fakhrul Azman Abu Hasan hadir di mahkamah menaiki kereta ditemani empat pengawal peribadi.

Mahkamah Tinggi juga mengesahkan perceraian talak satu bagi pasangan itu dan sijil nikah mereka dibatalkan.

Hakim memberitahu, walaupun bercerai, hubungan anak dengan ibu dan bapa tidak putus, malah kedua-dua mereka perlu terus menjaga hubungan baik sesama keluarga.

(H/metro)

No comments:

Post a Comment