16 October 2021

Lelaki bunuh ipar dihukum gantung sampai mati


 TAWAU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh iparnya empat tahun lalu, di Mahkamah Tinggi Tawau, di sini, hari ini.

Hakim Mahkamah Tinggi Dr Alwi Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh berumur 26 tahun selepas didakwa menyebabkan kematian Ronston Tunai.

Tertuduh didakwa melakukan pembunuhan itu di sebuah rumah Kampung Sabah Baru, Jalan Tengah Nipah, Lahad Datu, pada 16 Jun 2017, jam 3 petang.

Berdasarkan hujahan tertuduh, Dr Alwi mendakwa mangsa bertindak menyerangnya terlebih dahulu dengan pisau selepas mengetahui rahsianya merogol adik tertuduh terbongkar.

Bagaimanapun, kejadian itu menyebabkan terdapat 13 tusukan benda tajam pada si mati dengan lima tusukan di leher, tujuh di dada dan satu di lengan, manakala tertuduh tidak mengalami kecederaan.

Mahkamah turut mengambil kira saksi mata iaitu juga ahli keluarga tertuduh yang kebetulan berada di rumah ketika kejadian, mendengar mangsa menjerit dan bunyi pergelutan dari bahagian ruang tamu.

Saksi juga turut melihat dengan jelas tertuduh berada di atas si mati dan bertindak menikamnya beberapa kali.

Mangsa turut berjaya melarikan diri ke luar rumah dan terjatuh, manakala tertuduh yang bertindak mengejar dari belakang dilihat menikam mangsa beberapa kali.

Menurut Dr Alwi, tindakan itu menunjukkan tertuduh memang bertindak membunuh mangsa.

Pihak pembelaan juga gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

Sehubungan itu, hakim mendapati tertuduh bersalah dan menjatuhkan hukuman gantung sampai mati ke atas tertuduh.

Dalam prosiding tersebut, pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohammed Ali Imran manakala tertuduh diwakili peguam lantikan mahkamah Liew Hon Min.

Pihak pendakwaan memanggil seramai 14 saksi manakala tertuduh menjadi saksi tunggal bagi pihak pembelaan.

Difahamkan tertuduh bertindak menemui si mati selepas mengetahui mangsa telah merogol adiknya.

Mangsa dikatakan cuba menyerang tertuduh dengan pisau sebelum berlaku pergelutan.

Tertuduh berjaya merampas pisau tersebut dan menikam mangsa beberapa kali dan disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di hospital.

Sumber berita : Utusan Borneo

 

 

1 comment:

  1. Senangnya hukuman kes macam bodoh ni. KES ISTERI RAJA DIHILIR, KES ALTANTUYA, KES MOKHTAR HASYIM SELAMBA BODOH JE LEPAS.

    ReplyDelete