14 October 2021

'Bunuh kerana cemburu'

 


KOTA BHARU: Tujuh sekeluarga disambung reman selama seminggu lagi mulai hari ini bagi membantu siasatan penemuan mayat seorang wanita warga Thailand di dalam longkang berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Gua Musang - Kuala Berang, dekat Gua Musang, pada Selasa minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, Asisten Komisioner Wan Khairuddin Wan Idris, berkata sambungan reman bermula hari ini hingga Rabu depan, bagi membolehkan polis melengkapkan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata, kertas siasatan terhadap tujuh sekeluarga berusia di antara 21 hingga 64 tahun sedang dilengkapkan sebelum diserahkan kepada pihak pendakwaan.

"Kes berkenaan dipercayai bermotifkan cemburu. Namun, polis masih menjalankan siasatan lanjut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan, mayat seorang wanita warga Thailand ditemukan dalam longkang berhampiran ladang kelapa sawit di Jalan Gua Musang - Kuala Berang, dekat Gua Musang, Selasa minggu lalu.

Ketua Polis Daerah, Sik Choon Foo, berkata mayat mangsa berusia 44 tahun ditemukan dalam keadaan separuh bogel itu oleh orang awam yang melalui jalan berkenaan pada 3 petang.

Susulan itu, tujuh sekeluarga termasuk wanita berusia 44 tahun dan majikan lelaki berusia 64 tahun ditahan di Felda Chiku untuk siasatan penubuhan mangsa.

Sumber : Berita Harian

No comments:

Post a Comment