SUBANG JAYA - Polis hari ini mengklasifikasikan kes kehilangan Timbalan
Ketua Bahagian Bicara dan Rayuan di Jabatan Peguam Negara, Anthony Kevin
Morais sebagai selesai selepas penemuan mayatnya pagi tadi.
Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Mohmad
Salleh, motif pembunuhan Morais itu ada kaitan dengan satu kes mahkamah
di Shah Alam membabitkan seorang pegawai perubatan tentera berusia 52
tahun dan suspek utama itu sudah ditahan semalam.
Pada sidang media tadi, Mohmad memberitahu, polis sudah menahan tujuh
individu yang ada kaitan dalam kes pembunuhan Morais, berusia antara 22
hingga 52 tahun.
Polis juga akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap lima orang
yang dianggap suspek utama manakala dua lagi iaitu wanita dan
kanak-kanak, bukan saksi utama.
Menurutnya lagi, polis tidak tolak kemungkinan terdapat unsur dendam dalam kes pembunuhan Morais.
Terdahulu, polis mengesahkan mayat yang ditemui terikat di dalam guni
dan bersimen di kawasan terbiar Jalan Subang 3, di sini, pagi tadi
adalah mayat Morais.
Konkrit yang menempatkan mayat itu sudah dipecahkan dan mayat mangsa sudah dikenal pasti.
Pada 4 September lalu, Morais dilaporkan hilang selepas keluar dari
rumahnya di Menara Duta (1), Kondominium Jalan Dutamas kira-kira jam 9
pagi untuk ke tempat kerja di Pejabat Peguam Negara, Putrajaya. - SH
No comments:
Post a Comment