KUCHING - Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan
berbincang dengan Ketua Setiausaha Kementeriannya, Ketua Pengarah
Imigresen dan Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara berhubung
tawaran menjadikan Muhammad Jamaluddin sebagai anak angkat.
Beliau berkata, perbincangan dengan ketiga-tiga pihak adalah berkaitan
proses perundangan dan dokumentasi yang diperlukan untuk menjadikan
remaja itu anak angkat.
Muhammad, 16 yang kini menjalani hukuman penjara di Penjara Machang,
Kelantan menarik perhatian ramai di laman media sosial kerana
kebolehannya menghafaz al-Quran dan menjadi imam di penjara itu.
"Ada beberapa tawaran juga untuk mengambil beliau (Muhammad) sebagai
anak angkat, tetapi elok saya berbincang bagaimana supaya proses
legalisasi dokumentasi dapat dijalankan terlebih dahulu sebelum
mengambil sebagai anak angkat," katanya.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam sidang akhbar selepas berucap pada
Majlis Berbuka Puasa bersama warga kementerian di Masjid Al-Mujahiddin
Kompleks Perumahan Polis, Tabuan Jaya di sini hari ini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan beliau tidak akan mencampuri urusan
mahkamah yang telah menjatuhkan hukuman enam bulan penjara ke atas
Muhammad kerana kesalahan berada di Malaysia melebihi tempoh.
"Urusan menghukum ini adalah urusan mahkamah, maka saya tidak boleh
menghina mahkamah dengan mengenepikan apa yang diputuskan" katanya.
Muhammad pada mulanya disangka seorang remaja Rohingya, namun hasil
siasatan mendapati ibu remaja itu merupakan warganegara Thailand
manakala bapanya dari Kemboja.
Ahmad Zahid mengarahkan Ketua Setiausaha kementeriannya Datuk Mohamad
Khalid Shariff dan Ketua Pengarah Imigresen Aloyah Mamat ke penjara itu
untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai kebolehan Muhammad yang
menarik minat pengikut laman media sosial. - Bernama
No comments:
Post a Comment