Pendakwah bebas Mohammad Kazim Elias atau lebih dikenali sebagai Ustaz
Kazim hari ini mengumumkan keputusan keluar daripada PAS kerana kecewa
dengan tohmahan dan fitnah yang dilemparkan terhadapnya oleh pucuk
pimpinan dan anggota parti itu sejak sekian lama.
Beliau berkata
fitnah dan tohmahan itu semakin bertubi-tubi apabila beliau ditawarkan
tempat sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno baru-baru ini, meskipun
beliau belum menyatakan pendirian mengenai pelantikan itu.
Lebih
mengecewakannya ialah beliau anggota PAS tetapi diserang berterusan
dengan panggilan tidak sesuai seperti binatang dan munafik selain ada
pimpinan parti itu mengatakan beliau umpama kambing yang dimakan
serigala, agamawan celaru serta menjadi berhala atau patung sembahan
dalam Umno.
"Kalau mereka mengatakan saya masih PAS, atau selepas
kenyataan ini mereka mengatakan saya telah dipecat, tidak kiralah sama
ada saya masih anggota PAS atau telah dipecat, saya dengan ini
mengisytiharkan saya keluar daripada PAS dan tidak menyokong apa yang
telah dibuat fitnah dan kata-kata nista terhadap seorang yang cuba
menegakkan Islam melalui bidang dakwah.
"Saya masih sayang kepada
PAS yang dahulu yang dibawa oleh arwah Ustaz Fadzil Noor, yang
betul-betul memperjuangkan konsep yang sebenarnya tapi saya kecewa
dengan PAS sekarang yang apabila dinasihat, ditegur dikatakan barua dan
anjing Umno sedangkan saya adalah anggota PAS dan tidak pernah daftar
sebagai anggota Umno," katanya.
Ustaz Kazim ditemui selepas
mengadakan pertemuan hampir sejam dengan Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak di pejabatnya di bangunan Parlimen di Kuala Lumpur
berhubung pelantikannya sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno.
Dalam
pada itu, Ustaz Kazim turut menegaskan keputusan beliau untuk keluar
daripada PAS tiada kaitan dengan pertemuan dengan perdana menteri hari
ini, sebaliknya memaklumkan bahawa beliau sudah lama bersabar dengan
tohmahan dan fitnah terhadap beliau yang turut menjejaskan anggota
keluarga yang lain.
"Bertahun-tahun saya sabar dengan finah yang
dilemparkan oleh sahabat-sahabat tapi pada dua tiga hari ini, saya rasa
kesabaran saya telah sampai kemuncak. Ada yang panggil sebagai babi,
anjing, barua. Saya ada mak dan ayah walaupun dah meninggal, kalau masih
hidup, macam mana perasaan ibu saya yang anaknya dipanggil babi.
"Adakah
ini perjuangan PAS yang cuba memartabatkan Islam dan menyatupadukan
Islam tapi kerjanya memfitnah mengata yang bukan-bukan terhadap saya
sedangkan mengatakan saya masih ahli mereka.
Kemudian ada pula
kenyataan, Ustaz dipecat lepas tu memang ada usul tapi belum ada surat
pemecatan. Jadi bagaimana keadaan begini, hendak mengurus seorang ahli
pun dah timbul masalah besar bagaimana nak uruskan sebuah negara,"
katanya.
Sementara itu, menjelaskan status pelantikan beliau
sebagai anggota Majlis Tertinggi Umno, Ustaz Kazim berkata beliau
menyerahkan semuanya kepada perdana menteri yang juga Presiden Umno
untuk mengumumkan perkara berkenaan.
"Saya berbesar hati tetapi
saya serahkan kepada PM untuk buat pengumuman rasmi. Saya rasa beliau
lebih berhak untuk buat pengumuman," katanya.
Ustaz Kazim
berkata selepas pertemuan hari ini, beliau berpuas hati dengan
penjelasan yang diberikan Najib khususnya mengenai peranan yang boleh
beliau laksanakan sebagai anggota Majlis Tertinggi.
"Apabila
Datuk Seri terangkan kepada saya bagaimana orang agama boleh memainkan
peranan dalam Umno dan agensi lain, saya rasa itu bentuk yang baik dan
pihak luar perlu pandang baik, orang jemput kita sebab nak dengar
nasihat.
"Penerangan yang diberikan puas hati dan yakin apa yang
rakyat perlukan dan saya pun suarakan apa yang rakyat biasa inginkan,
dan Datuk Seri dengar dengan sangat terbuka dan ada dua tiga benda yang
saya lihat terkesan di hati Datuk Seri, dan saya yakin akan ada
perubahan selepas ini," katanya.
Pada 29 Nov lepas, Setiausaha
Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengumumkan Ustaz Kazim
adalah antara sembilan anggota Majlis Tertinggi yang dilantik bagi
melengkapkan jumlah 13 Majlis Tertinggi tambahan yang diputuskan
presiden Umno mengikut Fasa 9.2.8. Perlembagaan Umno. - Bernama
No comments:
Post a Comment