IPOH – “Secara peribadi saya kurang bersetuju beliau terlibat secara
keseluruhan dalam parti,” luah Kapten (B) Datuk Mohd Najmuddin Elias
berhubung pelantikan adiknya, Mohammad Kazim sebagai ahli Majlis
Tertinggi (MT) Umno.
Mohd Najmuddin berkata, sebagai ahli keluarga, beliau melihat situasi
pelantikan itu hanya akan menguntungkan sebelah pihak berbanding tugas
pendakwah bebas yang boleh menyebar ilmu kepada kerajaan mahupun
pembangkang.
Menurutnya, sekiranya benar perdana menteri mahu menempatkan Ustaz
Kazim dalam kerajaan, satu jawatan yang lebih sesuai boleh diberikan
agar tugas sebagai pendakwah masih boleh dijalankan tanpa perlu ada
‘double standard’.
Beliau turut tidak menolak kemungkinan, penerimaan jawatan itu kelak
akan mengganggu perjalanan Pusat Pendidikan Al-Barakah yang selama ini
di bawah tanggungjawab Ustaz Kazim.
“Buat masa ini, saya tidak mendapat penjelasan dari mana-mana pihak
mengenai perkara ini. Saya juga tidak tahu di sebalik perlantikan
tersebut.
“Sebagai abang saya tidak bersetuju, kecuali perdana menteri
menyediakan satu jawatan yang lebih sesuai agar dia boleh terus
berdakwah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, hari ini.
Beliau yang juga Pegawai Penerangan Agama Pejabat Menteri Besar Perak
memaklumkan akan mengadakan satu sidang media khas bersama seorang lagi
adiknya yang juga Adun Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah setelah mendapat
penjelasan daripada Ibu Pejabat Umno mengenai pelantikan itu.
Mengulas mengenai keahlian Pas, Mohd Najmuddin tidak menafikan Ustaz
Kazim pernah menjadi ahli parti itu 15 tahun lepas, bagaimanapun sudah
mengisytiharkan diri keluar parti.
“Setahu saya memang (Ustaz) Kazim pernah jadi ahli Pas, tapi dah lama keluar dan sejak itu dia jadi pendakwah bebas,” katanya. - SH
No comments:
Post a Comment