KOTA BHARU 5 Feb. - Polis hari ini menembak mati
seorang lagi anggota Geng Aime yang diburu selepas meloloskan diri
bersama seorang lagi rakannya setelah mereka berbalas tembakan di
Kampung Sungai Sam, Kuala Krai, kelmarin, yang mengakibatkan dua ahli
kumpulan tersebut mati ditembak.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.45 pagi itu, suspek berusia 27
tahun tersebut mati ditembak di kawasan berhampiran air terjun Gunung
Setong, Kuala Krai setelah cuba menetak seorang pegawai polis
menggunakan sebilah pedang berukuran 75 sentimeter.
Sehubungan itu, polis melancarkan operasi memburu seorang lagi rakan suspek yang masih bebas.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata,
pemeriksaan polis pada tubuh suspek yang berasal dari Paka, Terengganu
itu, menemukan dua ikat wang berjumlah RM6,150 dan pil-pil berwarna
merah dipercayai pil kuda. - Utusan