DUNGUN - “Saya tidak boleh terima apabila gambarnya dengan isteri baru
terpampang dalam majalah hiburan. Ia satu publisiti murahan dan tidak
sesuai dengan jawatannya sebagai YB (wakil rakyat).
"Saya rasa tindakan beliau mengaibkan keluarga dan menjatuhkan imejnya dalam politik dan itulah punca saya memohon cerai ini."
Demikian pengakuan Mastura Othman, 47, yang mengemukakan permohonan
cerai ke atas Adun Paka, Zakaria @ Ariffin Abdullah, 60, di Mahkamah
Rendah Syariah Dungun, pagi semalam.
Mastura, isteri kedua Zakaria, ketika ditemui wartawan sebaik keluar
dari kamar mahkamah selepas kesnya disebut berkata, beliau sebelum ini
sudah bercerai dua kali, dan kedua-duanya difahamkan tidak didaftarkan
dan permohonan cerai tersebut adalah kali ketiga bagi pasangan terbabit,
yang berkahwin lebih 20 tahun lalu.
Mastura, yang hadir ke mahkamah berbaju kurung oren berkata, kali
pertama beliau bercerai dengan suaminya ialah pada 27 April 2012, dan
kali kedua pada 18 Ogos 2012, iaitu beberapa hari selepas Aidilfitri.
Beliau menjelaskan, permohonan cerai kali ketiga itu dilakukan atas
kerelaannya sendiri kerana beliau amat kecewa dengan perbuatan suaminya
yang didakwa menyiarkan kisah hubungannya dengan isteri terbaru dalam
sebuah majalah hiburan keluaran Disember lalu.
Menyentuh soal kedudukan suaminya dalam politik apatah lagi menjelang
pilihan raya umum yang mungkin agak terjejas ekoran tindakannya itu,
Mastura berkata, beliau tidak mahu memikirkan masalah itu kerana apa
yang lebih penting baginya sekarang ialah hala tuju diri dan
anak-anaknya.
“Itu terpulang kepada dia. Dia yang mencipta segala masalah. Ia (atas)
kerelaan hati sendiri. Kita pun dah tua, anak dah besar, baik fikir diri
sendiri.
“Dia minta saya buat selepas pilihan raya, tapi saya rasa tak perlu
tunggu, lalu saya buat laporan pada 23 Januari. Hari ini apabila kesnya
disebut, dia tidak hadir,” katanya.
Menyentuh mengenai perkahwinan ketiga suaminya, difahamkan dengan kakak
salah seorang penyanyi tersohor, Mastura mendakwa, beliau mendapat tahu
suaminya berkahwin seorang lagi pada Jun lalu setelah menemui gambar
wanita berkenaan dalam telefon bimbit suaminya.
Mastura, yang mempunyai tiga anak berusia antara 10 dan 21, hasil
perkongsian dengan suaminya yang juga bekas Timbalan Ketua Umno Bahagian
Dungun berkata, Zakaria mengaku wanita itu isteri terbarunya.
Hakim Mahkamah Rendah Syariah Dungun, Shamsudin Ngah, menetapkan 12 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kesnya. - SH
Menang juga tak tahulah.