KOTA BHARU: Ketika kerajaan pusat masih menafikan
hak Kelantan ke atas royalti petroleum, sebaliknya bijih besi pula
ditemui di bumi negeri ini.
Bijih besi tersebut sekarang dieksport sebanyak 40,000 tan metrik setiap minggu melalui Tok Bali ke China.
Kapal dari China kini berlabuh kira-kira 1.4 batu nautika dari pantai
Tok Bali bagi mengangkut bijih besi, di mana ia diangkut ke kapal
menggunakan 20 tongkang dari jeti di Tok Bali.
Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Husam Musa berkata, sebelum ini
bijih besi tersebut dieksport ke China melalui pelabuhan di Kemaman dan
Kuantan yang melibatkan kos agak tinggi.
“Namun sekarang bijih besi tersebut dieksport melalui pelabuhan di
Tok Bali yang ternyata lebih menjimatkan kos pengangkutan,” katanya
menjawab soalan Abdul Latif Abdul Rahman (PAS-Mengkebang) pada
persidangan Dun hari ini.
Beliau berkata, hasil royalti tersebut dijangka dapat menampung kos pembinaan pembinaan lebuh raya rakyat Kuala Krai-Kota Bharu.
Menurutnya daripada hasil royalti besi sekurang-kurangnya dapat
menampung bayaran tertunda projek lebuh raya berkenaan yang ditetapkan
dalam masa 25 tahun.
“Kita telah berusaha memecahkan benteng kongkongan dan halangan oleh
kerajaan pusat sebelum ini. Idea yang dicetus Menteri Besar bagi
mengamalkan konsep wakaf sebagai satu nilai tambah.
“Usaha itu ternyata mendapat sambutan menggalakkan biar pun
promosinya belum dilakukan secara meluas, namun dana yang disumbang
secara online sekarang sebanyak RM430,000,” ujarnya.
Kata beliau kerajaan negeri akan mewujudkan dana amanah di bawah Perbendaraan Negeri bagi mengurus sumbangan orang ramai.
Malah pada 7 Julai ini artis-artis yang menyertai PAS akan mengadakan program khusus bagi menyokong projek lebuh raya rakyat.
“Pada Ramadan nanti kita juga akan lancarkan kutipan dana di Kuala
Lumpur bagi membolehkan orang ramai turut sama menyumbang,” ujarnya.
Husam juga memberitahu lapan juruukur yang mengambil alih peranan
juruukur awal menyiapkan jajaran projek lebuh raya rakyat sudah berjaya
menyiapkan kerja-kerja ukur sepanjang 30 km.
Kata beliau kerja-kerja mengukur jajaran jalan raya tersebut
sebenarnya sudah disiapkan pada 2007, namun juruukur yang terbabit tidak
dbenarkan menyerahkan laporan kepada kerajaan negeri.
Bagaimanapun katanya, kerja-kerja pembinaan lebuh raya tersebut
dijangka akan dimulakan selepas mendapat kelulusan mesyuarat Exco
kerajaan negeri dalam masa terdekat ini.
Menurutnya jentera berat milik syarikat juga sudah berada di lokasi bagi memulakan kerja-kerja pembinaan.
“Kita akan laporkan setiap minggu perkembangan projek pembinaan lebuh
raya tersebut selepas ini bagi pengetahuan rakyat,” katanya. - Harakahdaily
No comments:
Post a Comment