Tahniah kepada para artis yang kini berani tampil secara terbuka
menyatakan sokongan kepada Pakatan Rakyat. Selama ini rungutan golongan
artis di bawah pemerintahan BN ialah mereka dianaktiri, dipinggir dan
kreativiti disekat.
Contohnya filem atau drama yang melibatkan
watak polis mesti terlebih dahulu dilulus oleh PDRM – ini adalah
terang-terangan satu kongkongan kebebasan. Penapisan pula semakin ketat.
Sejak akhir-akhir ini bukan sahaja skrip drama mesti diluluskan oleh
stesen-stesen TV tetapi pemilihan pelakon juga mesti terlebih dahulu
mendapat perkenan stesen-stesen TV.
Lagu-lagu yang kritis pula
akan digam oleh stesen TV dan Radio. Ini adalah sebahagian contoh dari
senarai panjang tekanan yang dikenakan.
Bob
Lokman (kanan), Aishah, Dayang Ku Intan, Hairie Othman, Abby Abadi,
Iwan (sekadar menyebut beberapa nama) menyertai Pakatan kerana yakin
bahawa gagasan tersebut adalah wadah alternatif untuk menggantikan BN.
Kehadiran
artis ini disambut baik dengan undangan ceramah hampir setiap malam.
Namun begitu, ceramah berterusan tidak wajar terjadi. Pakatan tidak
sepatutnya mengajak artis berceramah kerana ia bererti mensia-siakan
bakat seni para artis tersebut.
Artis-artis tersebut sewajarnya digalakkan untuk terus membuat persembahan seni, cuma wadah dan isinya berbeza.
Selain
itu, Pakatan juga harus mengambil peluang ini untuk mempamerkan diri
sebagai wadah baru kepada artis dalam dunia hiburan dengan menyediakan
ruang, peluang dan kemudahan bagi mereka untuk terus berkarya.
Di
bawah Pakatan, Bob Lokman harus terus mencipta lagu, Dayang Ku Intan
dan Aishah harus terus menghasilkan album, Abby Abadi dan Hairie Othman
harus terus berlakon dan begitu juga artis lain.
Pakatan
gagal menyambut kehadiran artis dengan cara sewajarnya. Setakat ini
tiada usaha untuk mengadakan konsert yang menggabungkan artis-artis yang
berhijrah. Tiada juga usaha menghasilkan album lagu-lagu reformasi.
Tiada juga usaha untuk menghasilkan filem yang mencatat sejarah
perjuangan dan sebagainya.
Produksinya bukan mudah kerana
memerlukan belanja besar. Tetapi apakah dengan menguasai Kelantan,
Kedah, Selangor dan Pulau Pinang, peruntukan kebudayaan di negeri
masing-masing tidak boleh untuk tujuan ini?
Selain itu, sumber kewangan Pakatan adalah sumbangan orang ramai. Apakah kaedah yang sama tidak boleh digunakan?
Warga
artis sedang menanti apakah Pakatan akan mengembalikan martabat artis
dengan membebaskan mereka dari belenggu BN. Kerana itu konsep hiburan
altenatif yang bakal dilaksanakan jika Pakatan mengambil alih Putrajaya
kelak, wajar dilaksanakan sekarang terutama di negeri-negeri yang
dikuasai Pakatan.
Apakah tahap penapisan dan kebebasan yang bakal
diterap Pakatan apabila memerintah kelak? Apakah akan ada garis panduan
yang jelas? Semua ini boleh dijawab dengan mempraktikkannya sekarang.
Jika
ini dapat dilakukan, bukan sahaja Pakatan akan dilihat sebagai wadah
alternatif, tetapi payung harapan kepada artis-artis agar dalam
melahirkan karya-karya bebas, berkualiti dan menjurus perjuangan.- Mkini
No comments:
Post a Comment