SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan langkah menyiarkan
manifesto Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) secara rakaman akan
diteruskan walaupun pihak pembangkang tidak bersetuju dengan kaedah itu.
Langkah itu antara beberapa perkara yang bakal diperkenalkan ketika PRU13, yang dijangka diadakan selepas sambutan Aidilfitri.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, pihaknya akan
tetap meneruskan langkah itu kerana ia salah satu syor terkandung dalam
laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) mengenai penambahbaikan
perjalanan pilihan raya.
"Sudah pasti siaran manifesto diteruskan kerana ini salah satu daripada
32 syor-syor dalam PSC," kata beliau kepada Sinar Harian Online.
Justeru kata beliau, parti-parti politik juga seharusnya menunggu
sehingga garis panduan berkenaan langkah itu dikeluarkan sebelum
melahirkan pendirian sama ada menerima atau sebaliknya.
"Sepatutnya mereka perlu tunggu dahulu sehingga garis panduan
dikeluarkan oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan
sebelum membuat komen," kata beliau dalam kenyataan SMS.
Abdul Aziz berkata, beliau juga yakin parti-parti politik yang lain
akan menerima peluang yang disediakan itu dengan hati terbuka walaupun
menggunakan cara rakaman sebelum menyiarkannya di RTM.
"Pakatan Rakyat (PR) perlu tunggu terlebih dahulu garis panduan sepenuhnya dan lebih berfikiran matang dengan perkara itu.
"Semua parti politik akan mendapat keadilan untuk membentangkan
manifesto masing-masing seperti yang terkandung dalam salah satu
daripada 32 syor PSC.
"Cara ini juga merupakan usaha kami bagi memperbaiki proses pilihan raya negara ini,” katanya lagi.
Kelmarin, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Kerajaan
Pusat cuba mahu mengaburi mata rakyat dengan hanya membenarkan
manifesto parti politik ketika PRU13 disiarkan secara rakaman.
Sabtu lalu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, pihaknya
juga tidak bersetuju kerana manifesto yang disiarkan akan diputar belit
isi kandungannya oleh pihak yang tidak bertanggungjawa serta tidak
menepati tuntutan Bersih 3.0.
Mengulas lanjut, Abdul Aziz menegaskan, PR tidak seharusnya
terus-menerus mendesak dan menyalahkan Kementerian Penerangan,
Komunikasi dan Kebudayaan atau SPR yang mahu menggunakan kaedah rakaman
untuk menyiarkan manifesto.
“Sebaik-baiknya, tunggu dahulu garis panduan yang akan dikeluarkan
sebelum membuat sebarang keputusan, komen dan cadangan bagi memperbaiki
lagi sistem pilihan raya,” katanya. - Malaysiakini
* Semata-mata mahu mengkaburi mata rakyat. Barangkali BERSIH 4.0 perlu diadakan...
No comments:
Post a Comment