PETALING JAYA - Seorang lelaki yang sedang menunggu dalam kereta di luar
sekolah anaknya, Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah, Seri
Kembangan dekat sini, maut selepas ditembak dua lelaki yang menunggang
sebuah motosikal hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang Supt Abd Razak Elias berkata ketika kejadian
pukul 7.30 pagi itu, mangsa berumur 32 tahun sedang menunggu isterinya
yang menghantar anak lelaki tunggal mereka berusia lapan tahun masuk ke
dalam sekolah.
"Mangsa yang duduk di tempat pemandu dalam kereta jenis Perodua Myvi,
tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal dan bertopi keledar penuh
sebelum seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan ke arahnya
dari jarak dekat.
"Tembakan itu terkena rusuk kanan dan menembusi bahu kirinya. Mangsa
yang juga seorang peniaga kedai runcit kemudian dihantar ke Hospital
Serdang sebelum disahkan meninggal dunia pukul 9 pagi," katanya kepada
pemberita di tempat kejadian.
Abd Razak berkata hasil siasatan mendapati suspek menunggang motosikal
jenis Yamaha LC bewarna merah dan menggunakan pistol jenis semi auto.
"Siasatan lanjut juga mendapati mangsa yang tinggal di Sungai Chua,
Kajang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan menurut isteri mangsa,
suaminya tidak mempunyai musuh," katanya.
Abd Razak berkata polis dalam pada itu tidak menolak kemungkinan
kejadian bermotifkan dendam dan telah dirancang rapi oleh suspek
tersebut.
"Di sekolah tersebut tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup.
Sehubungan itu kami meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya
menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan," katanya. - Bernama
* Amannya Malaysia...
No comments:
Post a Comment