KUALA LUMPUR - Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memberi keterangan dalam
kes saman RM100 juta beliau terhadap Ketua Pemuda Umno, Khairy
Jamaluddin Abu Bakar berhubung dakwaan mengeluarkan perkataan berunsur
fitnah yang dimuat naik dalam beberapa laman web, termasuk
Malaysiakini.com, menerusi klip video.
Peguam J. Leela, yang mewakili Anwar, memberitahu pemberita bahawa
ketua pembangkang itu dan seorang wartawan akan dipanggil memberi
keterangan dalam perbicaraan itu.
Leela berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Hue Siew Kheng menetapkan 14
dan 20 November untuk mendengar kes saman itu selepas bertemu beliau
dan peguam Faizal Faiz, yang mewakili Khairy, di dalam kamarnya.
Hakim turut memerintahkan kedua-dua pihak supaya memfailkan ringkasan
kes, senarai saksi dan isu yang akan dibicarakan, katanya.
Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy dengan mendakwa
defendan, ketika itu Naib Ketua Pemuda Umno, mengeluarkan kata-kata
berunsur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and Kin No
Threat', dimuat naik dalam beberapa laman web, termasuk
Malaysiakini.com.
Anwar memohon RM100 juta dalam ganti rugi teruk dan teladan, selain relif lain yang difikirkan wajar oleh mahkamah.
Khairy, dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan pada 8 Okt, 2010,
berkata beliau bersandar kepada pembelaan justifikasi dan perlindungan
bersyarat.
Beliau berkata, sebagai Naib Ketua Pemuda Umno ketika itu, beliau
mempunyai tanggungjawab perundangan, moral dan sosial kepada masyarakat
dan orang Melayu, dan orang awam mempunyai kepentingan yang sah yang
bersamaan dalam penerimaan maklumat berkaitan perkara dalam perbincangan
yang memberi kesan kepada sosial, ekonomi dan politik. - Bernama
* Dapat 1 juta pun dah banyak...
No comments:
Post a Comment