Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng malam tadi 'dihujani' pelbagai
persoalan berkaitan pendirian dan sikap parti itu terhadap isu hudud
yang menjadi perjuangan parti rakannya PAS dalam Pakatan Rakyat.
Dalam
program wacananya untuk mendekati Melayu di Shah Alam malam tadi, sesi
soal-jawab menjadi panas apabila peserta Melayu yang rata-rata muda
bangkit bertanyakan isu itu kepadanya.
Lim
mengulangi pendirian bahawa DAP "tidak bersetuju" dengan hudud kerana
mereka "berpegang kepada perlembagaan dan tidak ada peruntukan untuk
hudud" di dalamnya.
Bagaimanapun tegasnya, perkara itu tidak
menghalang DAP bekerjasama dengan PAS dan PKR khususnya dalam perkara
yang dipersetujui seperti menentang kemungkaran dan membanteras rasuah.
"Kita berbincang untuk berpegang kepada yang sedia ada. Kita mesti mengikut amalan dan konvensyen yang ditetapkan.
"PAS
ada pendirian, DAP ada pendirian. Tetapi ia tidak menghalang kerjasama
dalam isu yang lebih besar," katanya dalam wacana bertajuk "Benarkah DAP
mengancam Islam" anjuran akhbar web berbahasa Melayu DAP Roketkini.
'Tak mungkin pujuk non-Muslim terima hudud'
Lim
turut ditanya seorang anak muda bagaimana parti itu menerapkan
kefahaman kepada bukan Islam mengenai hudud selepas ia didakwa
ditakut-takutkan pemimpin BN.
"Tidak mungkin (DAP) memujuk orang
bukan Islam untuk menerima hudud. Hakikatnya bukan DAP sahaja tidak
terima hudud, tetapi kebanyakan orang bukan Islam, di Sabah dan Sarawak
lebih ramai tidak bersetuju.
"Itulah
hakikat yang kita kena terima. Pemimpin PAS perlu menerima hakikat,
hudud tidak diterima oleh golongan bukan Islam. Tetapi mereka memberi
keyakinan bahawa mereka tidak akan paksa. (Saya rasa) itu yang penting,"
katanya.
Sehubungan itu, Lim yang juga ketua menteri Pulau
Pinang mengajak semua pihak supaya tidak terperangkap dengan Umno yang
didakwanya mahu menonjolkan isu hudud untuk memecahbelahkan Pakatan.
"Kita
berdasarkan kerjasama atau prinsip musyawarah. Kalau kita bersetuju,
mari kita cari kata putus. (Perkara) yang tidak boleh bersetuju, kita
terima pandangan yang berbeza," katanya.
Sementara itu, Lim
menegaskan salah faham rakyat khususnya orang Melayu-Islam terhadap
parti itu disebabkan "persepsi palsu" yang didakwanya dibentuk oleh BN.
Lim juga menafikan dakwaan DAP anti-Islam, memandangkan parti yang
ditubuhkan pada 1966 itu menerima perkara yang termaktub dalam
perlembagaan termasuk Islam sebagai agama persekutuan.
"Ia
(anti-Islam) tidak mungkin berlaku... Apa bukti DAP anti Islam? Sejak
DAP jadi kerajaan di Pulau Pinang, halang maulud (nabi) ka? Fitnah yang
berulang-ulang mungkin akan percaya.
Pensyarah: Aktivis Islam selesa dengan DAP dari Umno
Menurut
ahli parlimen Bagan itu, DAP dan PAS sebenarnya mempunyai banyak
persamaan dari sudut "mahu rakyat hidup dengan bermaruah, keadilan dan
kebebasan".
Bahkan,
beliau tidak mahu perbezaan antara kedua-dua parti memecahkan Pakatan
Rakyat di samping saling hormat-menghormati dan menyifatkan perbezaan
pandangan merupakan satu lumrah.
Sementara itu, pensyarah
Univerisiti Islam Antarabangsa (UIA) Dr Maszlee Malik berkata,
berdasarkan tinjauannya, ramai aktivis Islam seperti Angkatan Belia
Islam Malaysia (ABIM) dan Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia (JIM) "lebih
selesa" dengan DAP berbanding Umno.
Beliau membangkitkan
beberapa isu sebelum ini berkaitan Islam antaranya menukar cuti hari
Jumaat kepada Ahad di beberapa negeri, meroboh surau dan isu memecat
mufti.
"Adakah DAP Pulau Pinang yang buat? Siapa yang
anti-Islam?" soal Dr Maszlee yang diiringi jawapan "Umno" dari kira-kira
150 hadirin.
"Ini persepsi.... Persepsi selalu bersalahan dengan fakta. (Jadi) lihat fakta," katanya.
Di samping itu, Dr Maslee juga berkata beliau pelik, mengapa MCA tidak
dikatakan sebagai anti-Islam sedangkan pemimpinnya didakwa menghina
hudud, haji dan wanita bersalaman dengan lelaki. - Mkini
* Suka atau tidak tetap kena patuh jika hukuman itu diluluskan...
No comments:
Post a Comment