21 March 2010

Pegawai polis berpangkat ASP turut bertugas luar pejabat

KUALA LUMPUR 21 Mac. — Pegawai polis berpangkat Asisten Superitenden Polis (ASP) ke bawah akan turut menjalankan tugasan luar pejabat seperti rondaan tidak lama lagi, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan.

Ini bermakna hanya pegawai berpangkat Deputi Superitenden Polis (DSP) ke atas sahaja akan berada di pejabat, katanya.

Beliau berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini dalam proses penstrukturan semula pasukan di samping menambah pegawai-pegawai awam dalam pasukan itu yang akan menggantikan pegawai beruniform yang bertugas di pejabat.

"Jika penstrukturan ini diluluskan oleh kerajaan InsyaAllah kita akan mulakan di Bukit Aman di mana pegawai yang berpangkat ASP ke bawah akan menjalankan tugasan luar pejabat bagi meramaikan pegawai di luar untuk memberi fokus kepada mengurangkan kadar jenayah.

"Kita juga telah mengenalpasti 4,000 jawatan dalam PDRM di seluruh negara untuk pegawai awam mengantikan tempat pegawai beruniform yang bertugas di pejabat,” kata Musa kepada Bernama di sini.

Selain itu PDRM juga akan melaksanakan 14,000 pengambilan baru anggota dan pegawai polis tahun ini selain mengubah cara latihan kepada anggota-anggota baru. — Bernama

* Tugas polis benteras penjenayah bukan berpolitik.

No comments:

Post a Comment