(Gambar : SAIDATUL AKMAL disuapkan makanan oleh kakaknya, Azimah Shamsudin ketika ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah semalam.)
KUALA PILAH – “Ayah tidak sempat mengelak dan saya hanya menjerit sebelum disusuli bunyi dentuman.
“Kejadian itu begitu pantas hingga menyebabkan anak saya yang sedang dipangku Zailin (Nurul Zailin Roslley, 21) tercampak dan terperosok di tempat letak kaki.”
Demikian rintih Saidatul Akmal Samsudin, 18, ketika mengimbau kembali detik cemas kemalangan ngeri yang meragut nyawa anaknya, Mohd. Danish Zaquan Mohd. Zaidi, satu tahun lima bulan, di Kilometer 17, Jalan Seremban-Kuala Pilah dekat Ulu Bendul di sini kelmarin.
Turut maut dalam kemalangan itu ialah pasangan mentuanya, Roslley Hasan, 48, dan Roziah Shamsudin, 42.
Kesemua mangsa mati di tempat kejadian kerana cedera parah di kepala dan badan.
Dia yang ketika itu berada di tempat duduk penumpang belakang memberitahu hanya mampu tergamam ketika melihat kereta yang dipandu bapa mentuanya bertembung dengan sebuah kereta lain dari arah bertentangan.
Lebih menyedihkan apabila dia melihat sendiri bagaimana anak tunggal kesayangannya, Mohd. Danish terperosok di tempat letak kaki sejurus kemalangan itu.
“Pilu hati ini tidak terkata apabila tiga ahli keluarga termasuk anak tunggal saya hilang sekelip mata.
“Saya yang duduk di belakang bersama Zailin cedera di kepala dan kaki akibat kemalangan itu,” katanya ketika ditemui di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini semalam. - Kosmo
No comments:
Post a Comment