21 February 2010

Cinta tiga segi: Ibu mertua tak dendam Shidee

KUALA LUMPUR, Feb 21 – Ibu mertua penyanyi era 80-an, Rashid Abdul Wahab atau Shidee, 51, bersedia menerima menantunya itu dengan hati terbuka meskipun mengakui pernah menjalin hubungan istimewa dengan lelaki tersebut.

Jamaliah Hassan, 45, berkata, dia bukanlah seorang ibu kejam yang tidak dapat menerima hakikat perkahwinan antara Shidee dan anaknya, Khairunnisa Aziz, 22.

Menurutnya, dia juga kini tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadap Shidee serta menganggap kisah antara mereka berdua sebagai cerita lama.

“Saya bukan ibu zalim, kalau mereka datang, saya akan terima sebagai menantu dan anak. Tiada niat untuk saya buang anak.

“Saya juga tidak menyimpan sebarang perasaan dendam terhadap mana-mana pihak,” katanya dipetik Mingguan Malaysia.

Kisah perkahwinan Shidee yang popular dengan lagu-lagu cinta, dilaporkan berhadapan dengan kontroversi yang timbul akibat tiada restu ibu mertuanya.

Perkahwinan Shidee dengan Khairunnisa pada Feb 1 lalu mendapat tentangan ibu mertuanya yang dikatakan turut memendam perasaan cinta terhadapnya.

Akibatnya, Jamaliah telah membuat laporan polis bulan lalu mendakwa anak gadisnya itu dilarikan oleh penyanyi yang popular dengan lagu “Sayang Semuanya Sudah Terlambat” itu.

Khairunnisa pula membalas laporan polis itu dengan menafikan dia dilarikan, sebaliknya keluar rumah ibunya dengan rela hati.

Dalam pada itu, Jamaliah meminta Shidee supaya tidak lagi mengungkit kisah mereka sebaliknya memulakan hidup baru masing-masing.

Katanya, dia juga enggan memikirkan cerita lama antara mereka dan sedang bersemangat untuk memajukan lagi perniagaan sajian yang dijalankan.

“Apa yang saya harap, Shidee akan menjaga anak saya dengan baik dan mencari pekerjaan sesuai untuk keluarganya,” katanya.

Ditanya kisah sebenar perhubungan cinta antara dirinya dan Shidee, dia mengakui perkara tersebut malah lelaki itu pernah menyuarakan hasrat untuk ke jinjang perkahwinan.

Katanya, rakan-rakan, kenalan artis dan keluarga termasuk dua anaknya turut mengetahui hubungan mereka yang dianggap istimewa sejak tiga tahun lalu.

“Berikutan itu, ramai yang terkejut dengan perkahwinan antara Shidee dan anak saya. Mereka menelefon dan bertanya,” jelasnya.

Semalam Jamaliah dipetik sebagai berkata, Shidee yang tidak mempunyai rumah telah tinggal dengan keluarganya sejak empat tahun lalu.

Katanya, dia terkejut dengan perubahan sikap Shidee yang mahu mengahwini anak bongsunya itu kerana sebelum ini menganggap Khairunnisa sebagai anaknya sendiri.

“Saya dan Shidee adalah rakan kongsi perniagaan. Saya banyak bantu Shidee dari segi kewangan,” ujarnya.

Jamaliah turut menyatakan rasa keliru dengan sikap Shidee yang sebelum ini pernah mencipta lagu berjudul “Jamilah” yang hampir sama dengan namanya. - www.themalaysianinsider.com

No comments:

Post a Comment