21 February 2010

Anwar Ikrar Atasi Masalah Rumah Terbengkalai Di Selangor

Oleh Norasikin Samsi

HULU KELANG, 20 Feb - Hampir 150 pembeli perumahan pangsapuri kos rendah Damai Bistari di Hulu Klang, Selangor bakal memasuki kediaman masing-masing selewatnya minggu hadapan jamin Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Berita gembira yang menamatkan gerhana penantian lebih tujuh tahun bagi pemilik 146 pangsapuri ini adalah hasil tekad kerajaan negeri Selangor yang bakal memperuntukkan kira-kira RM5 bilion untuk memulihkan kesemua projek terbengkalai di negeri itu.

Semasa melancarkan Program Pemulihan Perumahan Terbengkalai Negeri Selangor di perkarangan perumahan Taman Ukay Bistari di Hulu Klang hari ini Datuk Seri Anwar menegaskan sekiranya sijil layak menduduki (CF) gagal diperolehi sebagaimana yang dijadualkan beliau berjanji akan 'turun padang' bertemu pihak pemaju terbabit untuk menyelesaikannya.

"Kita janji satu perkara, kita pegang pada amanah dan ikrar. InsyaAllah kita akan pertahankan prinsip keadilan ini dan hak pembeli.

"Pada hari ini, saya datang hanya ada CF sementara, kalau Dr Nik Zamri Majid (Pengerusi Eksekutif RSS-PMC Sdn Bhd selaku perunding projek) boleh kemukakan semua dokumentasi berkaitan pada hari Isnin, saya akan maklumkan kepada Majlis Perbandaran Ampang Jaya, minggu depan juga kita luluskan. Hari Isnin dapat surat, minggu itu juga lulus tetapi syaratnya semua hendaklah diisi lengkap.

"Kalau tak lulus setelah dikemukakan, saya jamin saya akan turun sendiri. Lagipun kes mahkamah saya tertangguh. Jadi saya ada masa. Ini soal rumah terbengkalai, soal hidup dan kebajikan rakyat. Bukannya perkara main-main. Kami tak mahu seksa penduduk lagi, walaupun tujuh hari. Ini pendekatan yang cuba kita buat," katanya kepada lebih 300 penghuni.

Ketua Umum KEADILAN berkata beliau akan berusaha untuk mendapatkan dana bagi melancarkan program ini.

“Sebelum saya datang sini kita bincang, saya kata kena ada juga sedikit suntikan untuk bantu bagi melancarkan program ini. Maka Tan Sri Khalid Ibrahim setuju dan saya akan adakan mesyuarat minggu depan untuk kita minta dahulu pendahuluan atau peruntukan daripada Lembaga Perumahan,” ujar beliau.

Anwar turut membidas kurangnya kemahuan politik pada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta undang-undang tidak adil yang memihak kepada pemaju.

“Apa yang diperlukan ialah kemahuan politik dan perubahan dalam undang-undang. Kita kena faham punca masalah apa dia. 144 projek di negeri Selangor yang kita warisi dari kerajaan dahulu. Dia buat pakatan bukan dengan rakyat tetapi dengan syarikat (pemaju). Syarikat urus dengan rakyat. Kemudian entah apa dia punya urusan lain kita tidak tahu. Yang halal, yang haram, kita tidak tahu. Yang kita tahu rumah tidak siap. Bila Pakatan Rakyat menang, orang harapkan kerajaan baru. Kita tidak boleh lepas tanggungjawab itu.

"Yang patut kita buat hanya dengan cara mempercepatkan proses pemulihan. Saya juga akan berikan ruang serta masa dan beri sokongan penuh kepada Exco Perumahan dan kita akan panggil semua lembaga perumahan dan lain-lain yang berkenaan serta bagi tekanan kepada pemaju tersebut," katanya.

Anwar juga turut menyampaikan replika kunci kepada pembeli rumah Damai Bistari dan Saujana Puchong.

Turut hadir termasuk Pengerusi Jawatankuasa Khas Pemulihan Perumahan Terbengkalai Kerajaan Negeri Saari Sungib, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Iskandar Samad, Ahli Parlimen Gombak Azmin Ali dan Ahli Parlimen Kuala Langat Abdullah Sani Abdul Hamid. - SK

No comments:

Post a Comment