17 January 2010

'Saya tidak mahu ganggu Ilyani'

KOTA BHARU: “Saya tidak mahu mengganggunya dan biarlah dia tenangkan diri di rumah ibu saudaranya,” kata Mohd Noor Che Man, 58, bapa mentua bekas Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas Kelantan, Dr Rosli Allani Abdul Kadir, 35, semalam.

Katanya, Ilyani pulang ke rumah ibu saudaranya 4 Januari lalu selepas Dr Rosli mengemukakan permohonan membatalkan perintah mufarakah dikeluarkan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi Syariah.

“Memang Ilyani sudah pulang ke pangkuan keluarga, tetapi ke rumah ibu saudaranya di Kuala Lumpur. Dia ke rumah ibu saudaranya itu untuk menenangkan fikiran kerana perintah mufarakah terbabit.

“Buat masa ini saya belum bertemu dengannya dan saya tidak mahu dia mengalami tekanan. Biarlah dia berehat di rumah ibu saudaranya,” katanya ketika dihubungi.

Ditanya berhubung tindakan Dr Rosli mengemukakan permohonan untuk membatalkan perintah mufarakah, Mohd Noor mengesahkan keputusan berhubung perkara itu akan diketahui hari ini.
“Pada 4 Januari lalu, Dr Rosli mengemukakan permohonan untuk membatalkan perintah mufarakah yang dikeluarkan terhadap beliau dan isteri keduanya atas alasan sudah berkahwin semula di Thailand.

“Mungkin esok (hari ini), hanya saya dan Dr Rosli yang akan mendengar prosiding terbabit dan tidak Ilyani kerana permohonan terbabit tidak membabitkan anak sulung saya,” katanya.

Dalam permohonan yang difailkan, menerusi Peguam Syarie, Mustafa Kamal Mat Hassan mahkamah diberitahu yang Dr Rosli Allani dan isteri keduanya, Ilyani Mohd Noor, bernikah semula mengikut hukum syarak pada 22 Disember lalu di Kampung Bangsal Wakseng Daerah Yarang, Pattani. - Mymetro

No comments:

Post a Comment