09 January 2010

Peragut tak sempat joli

PASIR PUTEH: Hasrat seorang lelaki warga asing ‘berjoli sakan’ dengan hasil curi tidak kesampaian apabila dibelasah orang ramai dalam kejadian di sebuah stesen minyak di Jalan Pasir Puteh-Kota Bharu di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 petang itu, lelaki berusia lewat 40-an itu merampas beg tangan seorang mangsa ketika mahu menaiki keretanya.

Mangsa sebelum itu mengeluarkan wang dari sebuah bank berhampiran tempat kejadian.

Menyedari begnya dirampas, mangsa meraung meminta bantuan menyebabkan sekumpulan pemandu teksi yang secara kebetulan sedang minum di sebuah kedai kopi mengejar lelaki terbabit.

Menurut saksi kejadian yang mahu dikenali sebagai Malik, dia melihat lelaki terbabit berlari ke sebuah kenderaan yang menunggunya, tetapi tidak sempat kerana panik dikejar orang ramai.

“Suspek lari dan membuang beg terbabit ke semak sebelum ditangkap orang ramai yang membelasahnya bertubi-tubi,” katanya.

Bagaimanapun, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh tiba selepas dihubungi orang ramai.

Sementara itu, Ketua Polis daerah, Deputi Superintendan Mohd Kamal Zainal ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mangsa berhubung kejadian itu.

“Polis giat melakukan siasatan berhubung kejadian itu dan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 379/511 Kanun Keseksaan.

“Saya turut memohon kerjasama orang ramai supaya tidak terburu-buru bertindak di luar batasan terutama terhadap peragut atau penjenayah, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada polis,” katanya. - Mymetro

No comments:

Post a Comment