11 January 2010

Pengebom tidak sempat diperiksa

WASHINGTON 10 Jan. – Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), Leon Panetta mendedahkan seorang doktor Jordan yang membunuh tujuh pegawai agensi itu sudah hampir hendak diperiksa sebelum dia meletupkan dirinya di sebuah pangkalan tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan.

Panetta dalam artikel yang disiarkan oleh akhbar Washington Post hari ini menulis, kejadian itu bukan melibatkan soal mempercayai seorang yang berpotensi menjadi aset perisikan dan pernah menyalurkan maklumat yang boleh disahkan secara berasingan oleh CIA.

“Kesimpulannya tidak semudah itu dan lagi pun tidak ada sesiapa yang memandang ringan bahayanya.

“Individu berkenaan sudah hampir hendak diperiksa oleh pegawai keselamatan kita, agak jauh dari kakitangan perisikan lain, apabila dia meletupkan bom pada dirinya,” jelas Panetta.

Post melaporkan, CIA telah merancang untuk bercakap dengan pengebom berani mati itu, Humam Khalil Abu Mulal al-Balawi bagi mencari jalan untuk membunuh pemimpin nombor dua al-Qaeda, Ayman al-Zawahiri iaitu sasaran utama AS yang masih bebas.

Balawi, seorang doktor Jordan yang berasal dari Palestin, meletupkan dirinya di sebuah pangkalan tentera AS di Khost dekat sempadan Pakistan pada 30 Disember lalu, dalam serangan paling berdarah ke atas agensi perisikan AS itu sejak 1983.

Selain tujuh ejen CIA, Balawi turut membunuh pengendalinya iaitu seorang pegawai tinggi perisikan yang juga anggota kerabat diraja Jordan.

Hampir semua orang dalam lingkungan pengebom itu mati di tempat kejadian apabila beribu-ribu penabur keluli meletup daripada bom yang dibawanya.

Dalam rakaman video yang disiarkan semalam, Balawi berkata, serangan bom itu sebagai membalas dendam terhadap beberapa serangan AS yang menggunakan pesawat tanpa juruterbang atau drone.

“Kami memberitahu ketua kami, Baitullah Mehsud, kami tidak akan melupakan pengorbanan darahnya. Terserah kepada kami untuk membalas dendam terhadap kematiannya di dalam dan luar Amerika,” kata Balawi mengenai pemimpin Taliban Pakistan yang terbunuh dalam serangan AS pada Ogos lepas.

Dia menujukan mesej itu kepada ‘musuh-musuh umat Islam iaitu CIA dan perkhidmatan perisikan Jordan’. – AFP

No comments:

Post a Comment