HULU SELANGOR 10 Jan. - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, penggunaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) merupakan pilihan terakhir dalam membendung perbuatan menyerang gereja yang berlaku sejak beberapa hari lalu.
Katanya, selain ISA negara ini mempunyai banyak lagi undang-undang yang boleh digunakan bagi mengambil tindakan ke atas mereka yang bertanggungjawab.
''Pihak yang terlibat dalam insiden itu tidak akan dimaafkan sama sekali. Kita akan kenal pasti mereka, hadapkan ke mahkamah dan menjatuhkan hukuman mengikut undang-undang sedia ada,'' tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Motivasi Pendidikan sempena Program Juara Rakyat di Tapak Ekspo Bandar Bukit Sentosa di sini hari ini.
Hishammuddin mengulas perkembangan cubaan membakar gereja di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya pagi Jumaat lalu. Serangan juga berlaku di Perak dan Sarawak awal pagi ini.
Dalam sidang media itu juga, beliau turut memberi amaran kepada pihak yang tidak bertanggungjawab supaya jangan bermain api apabila menyebarkan khabar angin menyalahkan UMNO mengenai insiden yang berlaku.
Menurutnya, segala tuduhan terhadap UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu difikirkan dengan baik kerana ia bukan sahaja membawa kesan kepada rakyat tetapi mereka sendiri.
''Mereka perlu bertanggungjawab sekiranya berlaku sesuatu di luar sana melalui khabar angin yang disebarkan. Kita akan siasat dan ambil tindakan tegas," katanya.
Hishammudin berkata, segala tuduhan yang dilemparkan kepada UMNO dan BN merupakan fitnah yang amat dahsyat.
''Saya ingin menyatakan di sini kita ada maklumat mengenai siapa yang terlibat dan orang ramai (rakyat) akan tahu juga nanti kebenarannya siapa yang betul di sini," katanya.
Beliau juga mengingatkan kepada orang ramai supaya tidak mempercayai khabar angin yang disebarkan segelintir media asing, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan internet mengenai insiden kebakaran gereja itu.
''Jangan percaya bulat-bulat terhadap maklumat yang disebarkan itu kerana saya bimbang ia tidak benar. Banyak perkara yang digembar-gemburkan itu bukannya realiti dan kita akan buktikan nanti.
''Saya juga telah meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan segera memaklumkan kepada rakyat sekiranya menerima SMS yang mengelirukan rakyat," katanya.
Menurut beliau, penjelasan juga akan diberikan kepada rakyat Malaysia di luar negara melalui duta-duta negara di sana bagi memberikan maklumat sebenar mengenai kejadian itu. - Utusan
No comments:
Post a Comment