19 January 2010

Penganggur hadapi empat tuduhan bunuh keluarga

REMBAU 19 Jan. – Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini kerana tuduhan membunuh ayah, adik, datuk dan neneknya pada 5 Januari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, Rasidi Ismail, 32, yang beralamat No. 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh, Tampin didakwa membunuh adik perempuannya, Siti Khadijah, 22, di alamat No. 119, Kampung Batang Rokan, Gemencheh pada 5 Januari antara pukul 7 hingga 11 pagi.

Tertuduh juga menghadapi tuduhan kedua, ketiga dan keempat iaitu membunuh ayahnya, Ismail Awang, 76; neneknya, Sufiah Katas, 80; dan datuknya, Atan Daud, 87, di rumah tidak bernombor Kampung Batang Rokan, Gemencheh pada tarikh dan waktu yang sama.

Rasidi kelihatan tenang dan mengangguk faham apabila pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tiada pengakuan dicatatkan daripada tertuduh.

Sebelum itu, tertuduh yang memakai baju dan seluar panjang lokap polis berwarna oren serta bergari kedua-dua belah tangannya tiba di mahkamah pada pukul 8.45 pagi dengan diiringi beberapa anggota polis.

Emak tertuduh, Saharah Atan, 59, serta seorang anak saudara lelakinya hadir di mahkamah.

Majistret Siti Nur Shafrida Hashim menetapkan 19 Februari depan sebagai tarikh sebutan semula kes selepas Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd. Daud memaklumkan pihak pendakwaan masih menunggu laporan kimia.

Mahkamah juga menetapkan bahawa jaminan tidak akan diberikan kepada tertuduh yang tidak diwakili peguam pada hari ini.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung sampai mati. – Bernama

* Apa motif dia?

No comments:

Post a Comment