SEPANG 10 Jan. - Sembilan rakyat Malaysia, yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan terbesar Viva Palestina, selamat kembali ke tanah air petang ini.
Mereka yang terdiri daripada empat anggota Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana, empat petugas Bernama TV dan seorang wakil Yayasan Al Bukhari merupakan sebahagian daripada 450 anggota konvoi itu.
Pasukan Malaysia, yang diketuai Matthias Chang, seorang anggota Pertubuhan Keamanan Sedunia Perdana, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 2.05 petang menerusi penerbangan dari Dubai.
"Bersyukur kepada rahmat Tuhan dan kebesaran-NYA. Tiada sesiapa di antara kami yang cedera. Bersyukur kepada Tuhan kerana memberikan kami kekuatan untuk mencapai misi kami dengan jayanya,” kata Chang kepada pemberita yang menanti kepulangan mereka di KLIA.
Sebelum ini, perjalanan konvoi kemanusiaan ke Gaza itu mengalami kelewatan dan amat meletihkan dengan pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi.
Selepas lewat beberapa minggu, anggota konvoi dengan bekalan perubatan, makanan dan peralatan pendidikan bernilai lebih sejuta dolar bagi rakyat Palestin akhirnya dibenarkan memasuki kawasan Palestin yang ditakluki itu.
"Kami bertegas tidak akan pulang selagi tidak dan sehinggalah kami memasuki Gaza dan menyampaikan bantuan kepada (penduduk) di Gaza. Kami telah melakukannya,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment