BAGHDAD 17 Jan. – Orang kanan Saddam Hussein, Ali Hassan al-Majid, yang lebih dikenali sebagai ‘Ali Kimia’ dijatuhi hukuman mati semalam kerana mengarahkan serangan gas ke atas penduduk Kurdis di kampung Halabja, timur laut Iraq pada 1988.
Majid akan menjalani hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah mengarahkan serangan kejam itu sewaktu perang Iran-Iraq hampir berakhir, lapor televisyen kerajaan Al-Iraqiya.
Keputusan mahkamah itu menandakan kali keempat Majid dikenakan hukuman mati.
Kira-kira 5,000 penduduk terkorban di Halabja, 75 peratus daripada mereka wanita dan kanak-kanak, dalam kejadian yang kini dipercayai serangan gas paling dahsyat pernah dilancarkan ke atas penduduk awam.
Majid yang merupakan sepupu rapat Saddam mendapat gelaran Ali Kimia kerana mengarahkan serangan-serangan gas beracun dalam kempen pengeboman dan pengusiran beramai-ramai yang mengakibatkan 182,000 penduduk Kurdis terbunuh pada 1980-an.
Dia dijatuhi hukuman mati kali pertama kerana kesalahan genosid berhubung kempen serangan ke atas penduduk Kurdis dan menerima hukuman mati kali kedua pada Disember 2008 kerana jenayah perang yang dilakukan semasa operasi mematahkan pemberontakan Syiah di selatan Iraq pada 1991.
Pada Mac tahun lepas, dia dijatuhi hukuman mati kali ketiga apabila Tribunal Tinggi Iraq menjatuhkan hukuman mati berhubung pembunuhan berpuluh-puluh penduduk Syiah di daerah Sadr City, Baghdad dan di bandar suci Syiah, Najaf pada 1999.
Namun, Majid paling dikenali kerana serangan di Halabja pada Mac, 1988 apabila jet-jet pejuang Iraq menyemburkan campuran gas mustard, Tabun, Sarin dan VX ke atas kampung Kurdis selama lima jam. – AFP
No comments:
Post a Comment