18 December 2008

Nasir Suka Bergurau, Rahsiakan Penyakit, Kata Isteri Dan Rakan-rakan

KUALA LUMPUR, 18 Dis (Bernama) -- Isteri kepada Allahyarham Mohamad Nasir P. Ramlee yang meninggal dunia Rabu, menyifatkan Allahyarham seorang yang kuat bergurau dan tidak gemar menceritakan penyakit jantung dan buah pinggang yang dihidapinya sejak tiga tahun lalu pada keluarga mahupun rakan-rakan.

Suria Bakar, 40, yang ditemui di rumah mereka di Setapak Garden di sini berkata Allahyarham ada mengadu sakit di bahagian jantung pada pukul 3 pagi tadi.

"Dia tak bagi saya bawanya ke hospital, katanya 'nanti kau akan menyesal'. Tapi menjelang pagi, dia nampak OK dan pergi bekerja di Istana Budaya (sebagai pengarah muzik) seperti biasa," kata Suria.

Mohd Nasir, 55, yang meninggalkan tujuh anak itu dimasukkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) pukul 3 petang tadi dan menghembuskan nafas terakhir pukul 5.10 petang.

"Saya terkilan hajatnya untuk membawa kami sekeluarga bercuti ke Langkawi Khamis depan tidak kesampaian. Dia memang selalu bawa kami berjalan-jalan asalkan sekeluarga gembira" katanya.

Sementara itu, pelakon veteran Datuk Aziz Sattar berkata beliau menganggap Allahyarham sebagai anaknya sendiri memandangkan bapa Nasir, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee adalah sahabat baik beliau.

"Saya tahu dia menghidap sakit jantung beberapa tahun lalu. Tapi dia memang seorang yang tabah, sebab tak pernah tunjuk atau mengadu sakitnya pada orang lain. Baginya, biarlah dia seorang yang rasa.

"Saya sungguh terkejut dengan pemergian Allahyarham...kita doakan untuknya," kata Aziz.

Bagi seniwati Mariani, hubungan yang terjalin bersama Allahyarham tidak dapat dilupakan memandangkan seniwati itu pernah menjaga dan mengasuh Allahyarham semasa kecilnya.

"Saya jaga dia selama dua tahun. Pernah suapkan dia makan dan mandikan dia. Cuma saya kesal sejak akhir-akhir ni, dia dah tak nak hubungi saya," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment