16 December 2008

Mengaku rogol budak

KOTA BHARU: Seorang penganggur terpaksa ditanya beberapa kali oleh hakim untuk mendapatkan kepastian terhadap pengakuannya selepas mengaku bersalah merogol seorang kanak-kanak berusia 11 tahun di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam.

Hakim Siti Mariam Othman terpaksa menjelaskan kepada tertuduh, Mohd Hafiz Saibi, 21, terhadap hukuman yang bakal diterima berikutan pengakuan bersalahnya itu termasuk dipenjara dan dikenakan sebatan.

Bagaimanapun, tertuduh yang memakai baju-T merah dan berseluar denim mengekalkan pengakuannya itu selepas tuduhan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya (TPR), Wan Azimah Yaacob.

Mohd Hafiz didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Permatang Pasir, Gunong, Bachok antara jam 3.30 hingga 4.30 petang, 2 Disember 2007.

Dia yang tidak diwakili peguam didakwa mengikut Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan kerana merogol mangsa yang ketika itu berusia 11 tahun lapan bulan sehingga menyebabkan kecederaan terhadap mangsa.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara minimum lima tahun atau maksimum 20 tahun serta sebatan.

Sebaik mendengar pengakuan bersalah tertuduh, Siti Mariam bertanya beberapa kali sama ada tertuduh faham tuduhan dan hukuman yang bakal diterima selepas membuat pengakuan itu.

Mohd Hafiz mengangguk beberapa kali sebelum Siti Mariam menetapkan 6 Januari depan untuk menjatuhkan hukuman.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen lain, keputusan hukuman terhadap tiga beranak yang didakwa memiliki dadah terpaksa ditangguhkan kepada 21 Januari depan sementara menunggu laporan kimia.

Ketika prosiding semalam, Hakim Ismadi Hussin menetapkan tarikh itu selepas membenarkan permohonan TPR, Madihah Zainol.

Ketiga-tiga tertuduh berkenaan, Mohd Kamarul Wahyu Abdullah, 25, bersama ibunya, Rogayah Kadir @ Deraman, 40 dan bapa tirinya, Aziz Mohamad, 44, didakwa memiliki dadah jenis metaphetamine di sebuah rumah pada September lalu. - Mymetro

No comments:

Post a Comment