10 December 2008

3,000 anggota polis bertugas semasa pilihan raya Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU 10 Dis. — Lebih 3,000 anggota polis akan ditugaskan semasa pilihan raya kecil kawasan Parlimen Kuala Terengganu pada 17 Jan depan, kata Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan.

Beliau berkata, mereka akan ditempatkan di pusat-pusat mengundi serta beberapa kawasan yang dikenal pasti.

“Angka ini boleh dikatakan sesuai untuk pilihan raya kecil tersebut,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perbincangan dengan pegawai-pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar.

Bagaimanapun Mohd. Shukri berkata, jumlah itu dijangka berubah kerana pihaknya juga akan mengambil kira faktor musim tengkujuh dan sebagainya.

Beliau turut menasihati parti-parti politik supaya menghentikan aktiviti-aktiviti yang menjurus ke arah berkempen sebelum hari penamaan calon pada 6 Jan.

“Ini kerana, sudah terdapat pihak-pihak tertentu yang telah mengibarkan bendera parti masing-masing sekarang,” katanya.

Pilihan raya kecil tersebut diadakan berikutan kematian mengejut penyandangnya, Datuk Razali Ismail, Timbalan Menteri Pelajaran pada 28 November lepas.

- Bernama

No comments:

Post a Comment