10 December 2008

Dr Syed Azman calon terbaik PAS - Malaysiakini

Wakil rakyat Batu Burok, Dr Syed Azman Ahmad Nawawi calon terbaik PAS untuk pilihanraya kecil Kuala Terengganu, kata ketua penerangan PAS kawasan itu Azmi Mohd Yassin.

Jika ahli jawatankuasa pusat PAS menepati semua ciri calon yang sesuai untuk membawa PAS ke ambang kemenangan, tambahnya.

"Dr Syed Azman, orang yang ada personaliti, ketokohan dan berpendidikan. Beliau juga sudah dikenali di kalangan pengundi tempatan.

"Beliau merupakan tokoh paling layak yang boleh melawan semua calon Barisan Nasional, termasuk Senator Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh," kata Azmi.

"Dr Syed Azman masih muda dan paling penting sudah mempunyai pengalaman sebagai ahli parlimen Kuala Terengganu selama empat tahun mulai 1999," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Mengulas ura-ura ahli perniagaan Mohd Khazani Abdullah, Azmi berkata, ia tidak menjadi masalah walaupun ia muka baru dan belum dikenali ramai.

"Saya tidak pernah dengar nama dia, mungkin orang baru kenal Mohd Khazani. Orang kata, beliau berasal dari Kampung Bukit, dalam kawasan parlimen tersebut.

"Tetapi kita boleh memperkenalkan dia dengan mudah, tidak ada masalah kerana ini pilihanraya kecil kerana semua orang tertumpu di sini (Kuala Terengganu)," katanya.

Mohd Khazani, bekas profesor Universiti Putra Malaysia (UPM), yang dikatakan dekat dengan pesuruhjaya PAS Terengganu, Datuk Mustafa Ali juga disebut-sebut sebagai calon PAS dalam pilihanraya kecil tersebut.

Bagaimanapun, tambah Azmi, cara terbaik untuk memilih calon PAS ialah berdasarkan siapa calon yang dipilih BN.

"Kalau Datuk Wan Ahmad Farid bertanding, orang yang paling layak ialah Dr Syed Azman sebab sama cerdik dan umur pun sebaya.

"Kata orang, (kedua-duanya) lawan yang sama padan, sama muda dan sama bijak," tambahnya.

"Walau apapun, terserahlah kepada pucuk pimpinan tinggi kerana orang bawah hanya menyokong sahaja."

Selain, Dr Syed Azman dan Mohd Khazani, beberapa nama lain yang turut dispekulasi sebagai calon parti itu Mustafa, timbalannya Datuk Wan Mutalib Embong dan bekas calon Mohamad Sabu, yang juga naib presiden.

No comments:

Post a Comment