14 June 2008

'Utusan dari Langit' di tahan jabatan agama

Cabar Jais

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 80-an yang mendakwa sudah hidup lebih 3,000 tahun, dikatakan `membatukan diri’ dan mencabar pihak berkuasa menembak dirinya apabila ditahan ketika menyampaikan ajaran pelik di rumahnya di Damansara, dekat sini, baru-baru ini.

Bagaimanapun, lelaki terbabit yang dipercayai pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), akhirnya mengikut arahan pihak berkuasa ke balai polis selepas anggota Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) mendapatkan kerjasama anak memujuk bapanya.

Di terus bersikap demikian sehingga kini serta tidak memberi kerjasama dengan alasan menghidap penyakit kaki bengkak walaupun pelbagai usaha dilakukan.

Pengarah Jais, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, berkata sikap lelaki itu ‘mengunci mulut’ serta membatukan diri menyebabkan ada usaha mengangkatnya untuk dibawa ke balai polis.

Beliau berkata, anggota Jais bagaimanapun menggunakan usaha lain termasuk mendapatkan kerjasama anaknya yang tinggal di luar kawasan rumah lelaki terbabit bagi memujuk bapanya mengikut arahan pihak berkuasa.

“Sebenarnya, kita hairan apabila melihat ceramah yang diberikan lelaki terbabit di kawasan rumahnya mendapat sambutan terutama daripada kalangan warga Indonesia.

“Kita tidak menolak kemungkinan ajaran pelik lelaki itu menarik minat warga Indonesia dan beberapa penduduk di sekitar kawasan kerana tertarik dengan dakwaan luar biasa yang konon dimilikinya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau mengulas laporan Harian Metro mengenai seorang lelaki yang mendakwa dirinya `Utusan Dari Langit’ dan sudah hidup lebih 3,000 tahun, ditahan Jais dalam serbuan di markas kumpulan ajaran sesat itu di Damansara, baru-baru ini.

Lelaki itu menjadikan rumahnya sebagai tempat pengikutnya berkumpul dan menyebarkan ajaran sesat yang bertentangan dengan syariat Islam.

Sempena sambutan Maulidur Rasul lalu, dia menghantar jemputan kepada Sultan Selangor, menteri besar, mufti dan Jais serta beberapa jabatan kerajaan untuk mendengar ceramahnya.

Selain itu, Mohammed Khusrin berkata, siasatan awal mendapati lelaki terbabit menyampaikan ceramah merapu dan tidak memiliki latar belakang agama yang kukuh.

Malah, katanya lelaki yang dipercayai memiliki dua isteri itu juga hanya memperoleh ilmu yang diajar kepada pengikutnya melalui apa yang didengar daripada orang lain

“Malah, lelaki terbabit dipercayai pernah ditahan mengikut ISA selepas dipercayai menggunakan kepetahan bercakap itu untuk menyampaikan ceramah dengan mengutuk secara terbuka orang kenamaan di negara ini.

“Buat masa ini, kita masih menanti masa yang sesuai untuk mendapatkan kerjasama daripada lelaki terbabit bagi mengenal pasti punca ilmu pelik yang diperolehnya itu,” katanya.

www.hmetro.com.my

No comments:

Post a Comment