14 June 2008

Terengganu dapat balik royalti minyak sebagai hadiah berjaya halang tsunami politik

Kerajaan Persekutuan hari ini bersetuju untuk mengembalikan wang royalti minyak sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata pemberian wang royalti itu akan dilaksanakan setelah perincian mengenai syarat-syarat terhadap perkara berkenaan ditetapkan.

"Kerajaan Persekutuan membuat keputusan untuk kembalikan wang royalti minyak kepada Terengganu dan butiran, prosedur serta langkah yang diambil itu akan ditetapkan apabila perbincangan dengan kerajaan Terengganu diadakan," katanya.

Abdullah, yang dalam rangka lawatan sehari ke Terengganu, berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan tertutup dengan pemimpin Umno Terengganu di Primula Beach Resort di Kuala Terengganu.

Kerajaan Terengganu sebelum ini meminta Kerajaan Persekutuan menyerahkan semula hak pengurusan wang royalti minyak yang dikenali sebagai Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) kepada kerajaan negeri untuk digunakan bagi projek-projek pembangunan rakyat.

Menurut laporan Bernama, Kementerian Kewangan pada 5 September 2000 telah menggantikan bayaran royalti sebanyak lima peratus kepada kerajaan Terengganu dengan program wang ihsan.

Wang itu disalurkan terus melalui projek pembangunan dan bukannya melalui kerajaan negeri apabila PAS memerintah Terengganu selepas pilihanraya umum 1999.

Baru-baru ini, Dewan Rakyat diberitahu kerajaan Pusat telah menyalurkan wang ihsan kepada kerajaan Terengganu bagi tempoh tiga tahun sejak Mac 2004 hingga Mac 2007 berjumlah RM7.364 bilion.

Mengulas lanjut, Abdullah berharap dengan pemberian semula royalti minyak itu, kerajaan Terengganu dapat menguruskan wang berkenaan dengan baik dan membuat perbelanjaan berhemah dalam melaksanakan projek-projek pembangunan di negeri itu.

"Saya yakin boleh (kerajaan Terengganu uruskan wang royalti itu dengan baik). Kalau kita dah ada wang, pandai-pandailah uruskan kerana kita akan menghadapi pelbagai situasi yang memerlukan perbelanjaan yang kadang-kala lebih daripada kita jangkakan.

"Kalau duit sudah habis, perbelanjaan itu tidak merupakan perbelanjaan yang berhemah, maka kita yang akan menghadapi banyak masalah. Maka dengan itu, pentadbiran dan perbelanjaan yang berhemah mestilah menjadi amalan kita. (sama ada) masa susah atau pun senang," katanya.

www.malaysiakini.com

No comments:

Post a Comment