07 February 2008

Hubungan KeADILan, PAS bertambah mantap - Anwar Ibrahim

KOTA BHARU, 6 Feb (Hrkh) - Umno dan Barisan Nasional (BN) kini semakin risau, apabila usaha mereka mahu memecahkan perpaduan di antara PAS dan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) ternyata tidak menjadi kenyataan.

Bermula dengan laporan Pertubuhan Berita Nasional (Bernama) milik kerajaan mahu melaga-lagakan PAS dan KeADILan, akhirnya ia tersandai di tengah jalan, apabila diakui agenda BN yang cuba memperalatkan agensi terbabit.

Dan semalam Penasihat KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim mengakui hubungan partinya dengan PAS bertambah mantap dan kini di peringkat akhir menyelesaikan pengagihan kerusi yang bakal ditandingi.

"Kita berkawan dengan PAS bagi membawa perubahan sama ada dalam bidang politik, ekonomi, sosial dan pendidikan di negara ini. Saya percaya pemimpin yang kita tengahkan mampu membawa perubahan.

"Perubahan ke arah lebih baik berbanding sekarang adalah menjadi perjuangan kita semata-mata untuk rakyat," katanya pada perjumpaan dengan ahli KeADILan Kelantan sempena majlis asyura di Padang Sri Cemerlang di sini, petang semalam.

Hadir sama Pengerusi KeADILan Kelantan, Nik Mahmood Nik Hassan dan ketua-ketua bahagian PKR bahagian. Sebanyak lapan kawah bubur asyura dimasak pada program tersebut.

Anwar berkata, Barisan Alternatif (BA) tanpa perasaan takut biar pun cuba diugut tetap terus menggembelingkan usaha bagi membolehkan kita membawa perubahan kepada rakyat.

Menurutnya, perjuangan BA mahu memacu ekonomi yang lebih baik dan adil kepada rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Bagaimanapun tambahnya usaha yang dilakukan BA jarang sampai kepada rakyat kerana tidak mendapat sokongan media massa harian yang dikuasai sepenuhnya pemerintah.

"Akhbar harian berbahasa Melayu dikuasai Umno, akhbar Cina dan Inggeris diterajui MCA dan tauke judi. Jadi jangan harapkan mereka melaporkan apa yang positif bagi kita," ujarnya.

Beliau juga mencabar sekiranya Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi tidak menganggap beliau sebagai halangan utama, sepatutnya pilihan raya umum ke-12 diadakan selepas 14 April depan bagi membolehkannya bertanding.

Ketika ditemui selepas itu Anwar berkata, pembahagian kerusi di antara KeADILan dan PAS di seluruh negara kini keseluruhannya hampir selesai.

"Di peringkat pusat rundingan kedua-dua belah pihak berjalan dengan baik. Begitu juga bagi peringkat negeri.

"Saya telah jumpa dengan pemimpin tertinggi PAS pagi semalam membincangkan soal strategi, soal apa yang mahu ditawarkan kepada rakyat dan kerjasama lain.

"Saya telah mengarahkan Jawatankuasa Pembahagian Kerusi PKR menyelesaikan dalam sehari dua ini," katanya.

Bagaimanapun kata beliau buat masa ini jumlah kerusi yang bakal ditandingi KeADILan belum boleh umumkan lagi.

Sementara itu, pada ceramah perdana yang diadakan di Dataran Stadium Sultan Mohamad Ke IV malam tadi dihadiri puluhan ribu rakyat Kelantan. Dataran tersebut penuh sesak sehingga melimpah ke jalan raya.

Ceramah anjuran Badan Perhubungan KeADILan Kelantan itu turut dihadiri Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, Anwar, Pengarah Strategik KeADILan, Saifuddin Nasution Ismail dan Nik Mahmood.

Sebelum itu, Anwar juga berceramah dengan Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa di Telaga Batu, Tumpat, juga dihadiri ribuan penduduk tempatan.

- HarakahDaily

No comments:

Post a Comment