KOTA BHARU 6 Feb. - Pas akan mengetengahkan gabungan pelbagai latar belakang kerjaya dan pendidikan termasuk peneroka bagi menyaingi Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu pada pilihan raya umum ke-12 nanti.
Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yakin dengan gandingan mantap antara kumpulan pemimpin masyarakat, profesional dan ulama berwibawa untuk disesuaikan dengan keadaan setempat akan memberikan kelebihan kepada parti itu.
''Mesyuarat pimpinan tertinggi Pas semalam telah meluluskan senarai calon dan ia bakal terdiri daripada pelbagai latar belakang, kita ada calon pakar perubatan, pakar motivasi, peguam, bekas tentera dan ulama serta peneroka," katanya di sini hari ini.
Tambah beliau, pemilihan calon dibuat berdasarkan kepada kriteria utama bagi menjamin kemenangan iaitu disenangi oleh pelbagai lapisan masyarakat pengundi dan mempunyai kewibawaan tinggi.
Husam berkata, semua pakatan pembangkang termasuk DAP telah bersetuju untuk meletak calon satu lawan satu melawan calon BN di seluruh kawasan yang bakal dipertandingkan.
Beliau bagaimanapun berkata, senarai calon Pas yang akan bertanding di Kelantan tidak diputuskan oleh mesyuarat berkenaan kerana ia akan dimuktamadkan oleh Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang juga Mursyidul Am Pas.
Husam berkata, mesyuarat itu sepakat memberikan mandat kepada Nik Abdul Aziz untuk menentukan calon terbaik bagi menghadapi BN di negeri ini.
"Jangan tanya sama ada saya kekal atau bertanding di Dewan Undangan Negeri atau Parlimen, saya tak tahu, tanyalah tok guru," katanya.
- Utusan
No comments:
Post a Comment