14 January 2008

Saksi dedahkan klip video VK Lingam sahih

KUALA LUMPUR, 14 Jan (Hrkh)- Seorang tokoh perniagaan, Loh Mui Fah, 58 yang menjadi saksi penting kes pita rakaman perbualan antara peguam kanan dengan seorang yang disyaki bekas Ketua Hakim Negara tampil membuat pengakuan terbuka dengan mengesahkan kesahihan klip video VK Linggam dan mendedahkan indentitinya sebagai individu kedua dalam klip video tersebut.

Loh mengambil keputusan untuk mendedahkan identitinya kerana mahu "pihak berkuasa berhenti daripada mengganggu dan menceroboh privasi dirinya dan keluarganya".

Beliau memberitahu, klip video tersebut telah dirakam oleh anaknya yang kini berada di luar negara. Beliau menafikan pembabitannya dan anaknya dalam pengedaran klip video tersebut kepada pihak ketiga.

"Saya tidak tahu, bagaimana pita itu jatuh ke tangan pihak ketiga?" tegasnya dalam satu temubual eksklusif dengan Malaysiakini.

Loh berkata, anak lelakinya yang merakamkan klip video sepanjang 14 minit perbualan telefon peguam Dato' VK Lingam itu. Beliau percaya anaknya merakam video tersebut tanpa sebarang niat yang tidak baik atau memahami apa yang sedang diperkatakan.

Sementara itu, Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dalam satu kenyataannya memuji keberanian Loh itu yang berani tampil memberikan keterangan dan mendedahkan indentiti dirinya kepada umum.

Kesediaan Loh mendedahkan isu sebenar, kata bekas Timbalan Perdana Menteri itu adalah tindakan yang berani kerana langkah sedemikian boleh mengundang pelbagai kemungkinan yang tidak terjamin keselamatannya.

Anwar bagaimanapun menegaskan, pendedahan Loh itu sekaligus menutup sebarang keraguan terhadap kesahihan klip video tersebut dan kini Suruhanjaya Diraja boleh memberikan fokus kepada isu-isu asas yang ditimbulkan dari perbualan dalam klip video itu.

Suruhanjaya Diraja yang dipengerusikan oleh mantan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Haidar Mohamad Nor telah ditubuhkan pada 12 Disember lalu.

Antara lain suruhajaya ini ditugaskan untuk menyiasat dan menentukan kesahihan rakaman klip video dan mengenalpasti identiti individu yang terkandung dalam klip video itu.

Ia juga ditugaskan untuk mengetahui siapakah individu yang sedang bercakap telefon serta siapakah pula individu-individu yang disebut dalam perbualan itu.

- HarakahDaily

No comments:

Post a Comment