14 January 2008

Lapan askar Thailand terbunuh dalam serang hendap

BANGKOK 14 Jan — Lapan orang askar dibunuh, disyaki oleh puak pemisah dalam satu serang hendap di Dusun Nyior, daerah Chanae, Narathiwat pagi ini.

Jurucakap tentera Thai Kolonel Akara Thiproj berkata, askar-askar itu sedang melakukan rondaan semasa mereka diserang hendap oleh sejumlah mereka yang bersenjata kira-kira pukul 9.15 pagi dan terlibat dalam berbalas tembak selama 30 minit.

“Bantuan telah dihantar ke kawasan itu tetapi kami gagal mendapatkan maklumat lanjut kerana terputus perhubungan. Puak militan telah merosakkan kabel telefon, termasuk isyarat mobile di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi.

Kematian itu adalah yang terbesar dialami oleh tentera di awal tahun ini menjadikan jumlah orang awam dan pegawai kerajaan yang terbunuh dalam pergolakan di kawasan itu sejak empat tahun lepas meningkat kepada hampir 2,900 orang.

Pada Januari 2004 puak pemisah memulakan semula kempen mereka untuk mendapatkan kemerdekaan bagi tiga wilayah majoriti orang Islam di selatan Thai iaitu Yala, Pattani dan Narathiwat.

Malam tadi, perhubungan di banyak kawasan di wilayah selatan terputus selepas puak militan membakar kabel telefon dan merosakkan menara komunikasi.

Pada kira-kira pukul 7 malam tadi, seorang wanita berusia 37 tahun terbunuh sementara ibunya berusia 79 tahun cedera apabila seorang lelaki bersenjata menembak mereka yang ketika itu menunggang motosikal ke rumah mereka di Teluban, Pattani.

Di Yala, dua orang askar cedera apabila satu letupan bom mengenai kenderaan mereka yang memberikan perlidungan kepada sekumpulan guru.

Akara juga berkata, tentera dan polis telah meningkatkan operasi memburu enam orang anggota militan yang melarikan diri dari balai polis Tanjong di daerah Muang, Narathiwat semalam.

Beliau berkat,a mereka percaya suspek masih berada di wilayah selatan dan pihak berkuasa turut mengawasi kawasan sempadan untuk menghalang mereka daripada melarikan diri ke Malaysia.- Bernama

- Utusan

No comments:

Post a Comment