08 December 2007

08.12.07 - Malaysiakini: Laporan polis dibuat

KUALA LUMPUR 7 Dis. – Kementerian Penerangan membuat laporan polis berhubung dakwaan laman web Malaysiakini, kononnya juruhebah radio Minnal FM dipecat kerana menyokong Hindu Rights Action Force (Hindraf).

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) kementerian tersebut, Datuk Azmi Ali berkata, laporan polis tersebut telah dibuat oleh Ketua Pengarah Penyiaran RTM, Datuk Abdul Rahman Hamid di Balai Polis Pantai di sini semalam.

Menurut beliau, laporan yang diterbitkan laman web Malaysiakini adalah tidak tepat kerana penamatan kontrak dua juruhebah Minnal FM itu adalah disebabkan masalah disiplin dan tidak mempunyai hubung kait dengan politik.

“Kontrak mereka tidak disambung selepas didapati mempunyai masalah disiplin serta mengingkari arahan pihak atasan,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Artikel yang diterbitkan Malaysiakini pada 3 Disember lalu, menyebut stesen radio Minnal FM memecat beberapa juruhebah kerana mereka didapati menyokong Hindraf.

Berhubung isu yang sama, laporan pada 4 Disember pula menyebut tujuh orang juruhebah radio berkenaan digantung tugas kerana menyokong Hindraf.

Mengulas isu yang sama, pengawal radio Minnal FM, M. Raja Sekeran menjelaskan, lima lagi juruhebah lain telah ditukarkan ke bahagian penerbitan dan bukannya digantung kerja seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Kelima-lima juruhebah itu telah ditukarkan dari bahagian juruhebah ke bahagian penerbitan yang bertujuan memberikan pendedahan baru kepada mereka,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment