07 December 2007

07.12.07 - DJ radio diberhentikan kerana Hindraf ?

KUALA LUMPUR: Keputusan tidak melanjutkan kontrak dua "deejay" radio bahasa Tamil, Minnal FM, disebabkan faktor disiplin serta prestasi kerja tidak memuaskan dan bukan kerana terlibat dengan perhimpunan Hindraf, kata Menteri Penerangan Datuk Seri Zainuddin Maidin.

Beliau berkata pengurusan tertinggi RTM menerima laporan bahawa prestasi kerja kedua-dua petugas yang tergolong sebagai "artis berjadual" itu kurang memuaskan, selain ingkar perintah dan melanggar peraturan dan garis panduan kerja yang ditetapkan.

Zainuddin menafikan dakwaan Ketua Pembangkang Lim Kit Siang semasa persidangan Dewan Rakyat semalam bahawa tujuh "disc jockey" (DJ) stesen radio Minnal FM, termasuk dua anggota kontrak ditamatkan kontrak kerana terlibat dalam perhimpunan haram Hindu Rights Action Force (Hindraf) 25 Nov lepas.

"Sebenarnya, kontrak mereka (DJ) tidak disambung kerana mempunyai masalah disiplin serta prestasi kerja yang tidak memuaskan. Saya mendapat surat daripada pengawal stesen radio itu yang memaklumkan sebab-sebab mereka diberhentikan," katanya.

Zainuddin berkata ekoran keputusan tidak melanjutkan kontrak dua deejay itu, lima deejay Minnal FM yang lain menyatakan tidak puas hati dan menuduh pengawal radio itu membuat perakuan yang tidak berasas.

Susulan daripada itu, SMS telah disebarkan yang puncanya masih dalam siasatan polis, antaranya menuduh pengawal itu sebagai penderhaka bangsa dan meminta penerima SMS menyebarkannya kepada sekurang-kurang 10 orang lain, katanya.

Zainuddin berkata pengawal radio itu juga menerima ugutan bunuh dan perkara itu telah dilaporkan kepada polis.

"Tuduhan bahawa kerajaan tidak melanjutkan kontrak perkhidmatan mereka atas sebab penindasan terhadap kaum India adalah tidak berasas. Isu ini telah dieksploitasi oleh golongan tertentu atas tujuan memalukan kerajaan," katanya. BERNAMA

No comments:

Post a Comment